Orang kuat Perak FC tak nafi ada isu gaji, ajak fans beli 'merchandise' selesaikan masalah


  • Podium
  • Isnin, 17 Jun 2024

Perak kini menghuni kedudukan kelapan dalam saingan Liga Super dan baru sahaja tersingkir dari kejohanan Piala FA 2024. — Facebook/Perak FC

GILIRAN Perak FC pula dikhabarkan terpalit mengalami tundakan gaji selepas timbul desas-desus mengatakan skuad The Bos Gaurus (TBG) sedang bergelut dengan masalah kewangan.

Pasukan Utara tanah air yang kini dimiliki oleh syarikat telekomunikasi terkenal, XOX Berhad berkenaan difahamkan mengalami tunggakan gaji sekitar setengah bulan.

Walaupun nilainya tidak setinggi pasukan yang turut ditimpa masalah sama namun jika dibiarkan ia boleh melarat sehingga dua hingga ke empat bulan dan secara tidak langsung menjatuhkan moral pemain.

BACA LAGI: Penyakit musim lalu Perak bantu import Piala MFL Terengganu bantai TBG

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas game Kedah, giliran CEO Perak perjelas fungsi sebenar VAR

Desas-desus berkenaan juga bukan hanya menjadi modal berborak penyokong skuad Seladang, malah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin turut tidak menafikan perkara berkenaan.

Bobie Farid yang berkongsi mengenai isu terbabit di laman Facebook,TBG Super Fan menyatakan bahawa dakwaan penyokong adalah benar sambil menggesa agar penyokong perlu memainkan peranan dengan membeli cenderamata.

"Betul (ada isu gaji). Jual jersi, jual simkad. Itu sahaja yang ada," jawabnya ketika penyokong Perak, Azizul Hakim bertanya solusi boleh dilakukan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Bukan itu sahaja, Bobie Farid juga menyatakan bahawa masalah berkenaan boleh melarat sekiranya tiada sokongan dari pihak penaja dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

BOBIEE

Bobie Farid kecewa ada sesetengah pihak tidak memainkan peranan dengan baik dalam memberi sokongan kepada Perak. — Facebook/Perak FC

Tambahnya, jika semua pihak tidak memainkan peranan penting, situasi seperti di Sabah FC dan Sri Pahang yang mengalami tunggakan gaji sehingga empat bulan akan berlaku di skuad TBG.

"Bakal kot (menjadi lebih teruk), apa nak buat sokongan tiada langsung dari penaja, GLC, jualan jersi lemah, tiket nak murah kalau mahal tak nak datang," jawabnya lagi.

Terdahulu, pemain dari kem Sri Pahang pula memberi petunjuk halus mengenai masalah kewangan skuad Tok Gajah yang berhubung kait dengan tunggakan gaji selepas mereka memuat naik luahan berbentuk sindiran dan gesaan kepada pihak pengurusan.

Selain Sri Pahang, tunggakan gaji Sabah juga menjadi tumpuan peminat dengan ada pemain berkongsi keadaan rumahnya yang tiada bekalan elektrik selepas mendakwa sudah lama tidak dibayar ekoran belum mendapat sebarang bayaran gaji dari pihak pengurusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram