Tambah marsyal antara 3 cara elak aksi panas El Clasico Malaya berulang


  • Podium
  • Khamis, 20 Jun 2024

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan antara penyokong Perak FC dan Selangor FC dalam aksi perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Ipoh, Perak musim lalu.

PERTEMUAN pasukan Selangor FC dan Perak FC pada 23 Jun nanti bakal menjadi perlawanan tumpuan bagi peminat bola sepak tanah air.

Dilabel sebagai perlawanan 'El Clasico Malaya', saingan kedua-dua pasukan itu pastinya mahu merebut tiga mata penuh bagi memperbaiki kedudukan masing-masing dalam carta Liga Super 2024.

Bakal melayan kunjungan The Bos Gaurus (TBG) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor, skuad Gergasi Merah yang segar selepas bertemu Negeri Sembilan FC aksi Piala FA 2024 pastinya mahu meneruskan momentum cemerlang itu.

BACA LAGI: Lakar sejarah sendiri, Natasha fokus sasaran baharu di Thailand Open dan Asian Championships

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan doa, tapi Ronaldo ungkap kata semangat sebelum ambil freekick

WhatsApp Image 2024-06-19 at 21.44.48

Selangor melaungkan amaran awal kepada Perak saingan Liga Super nanti selepas membelasah skuad Jang aksi Piala FA.

Dalam pada itu, pastinya kedua-dua pasukan menyeru agar seluruh penyokong untuk hadir bagi memeriahkan serta menggamatkan lagi suasana di stadium menjelang perlawanan tersebut.

Namun, kehadiran penyokong yang ramai pastinya akan memberi impak negatif kepada aksi berkenaan.

Ia susulan apabila aksi El Clasico Malaya pada 25 November lalu pernah dicemari dengan insiden pergaduhan penyokong di luar Stadium MBPJ sebelum perlawanan berlangsung.

Ketika itu, cermin sebuah kenderaan penyokong Gergasi Merah dipecahkan dan tiga orang mangsa dalam kejadian tersebut ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada wajah mereka.

Jadi, enggan kejadian buruk itu berulang pada aksi kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga cara boleh diambil agar pertumpahan darah dapat dielakkan ketika aksi El Clasico Malaya.

1. Tingkatkan jumlah pegawai keselamatan

Meningkatkan jumlah pegawai keselamatan merupakan salah satu cara yang efektif agar insiden sebegitu dapat dielakkan.

Dengan menggandakan jumlah pihak polis dan marsyal, dijangka mampu membendung 'kegilaan' kedua-dua penyokong, terutamanya dalam kalangan casual yang sering membuat kekacauan.

Tidak dinafikan kedua-dua pasukan ini mempunyai jumlah penyokong paling ramai yang menyebabkan kedua-dua peminat itu sering bertempur.

Kehadiran pegawai yang lebih ramai mampu memastikan pertembungan antara mereka di dalam mahupun di luar stadium dapat dihalang.

Selain itu, marsyal yang ditugaskan boleh diletakkan sebagai pembahagi antara kedua-dua penyokong pasukan sepanjang 90 minit permainan.

El Clasico Malaya

Keadaan kereta penyokong Selangor selepas dipecahkan oleh individu tidak dikenali ketika aksi di stadium MBPJ musim lalu.

2. Sistem tiket lebih teratur

Pihak pengurusan bagi kedua-dua pasukan perlu mengambil tanggungjawab untuk menguruskan tiket penyokong.

Hal ini kerana apabila sistem tiket diurus dengan lebih teratur, sudah pasti kedua-dua penyokong tidak berjumpa antara satu sama yang lain.

Pihak stadium terutamanya perlu memastikan agar operasi kemasukan penyokong ke stadium dapat dijaga dengan rapi.

Malah, mereka juga perlu memastikan agar penyokong pelawat dan tuan rumah tidak bertembung di pintu masuk yang sama.

3. Penekanan pihak pengurusan kelab

Peranan penting juga perlu diambil pihak pengurusan kelab bagi kedua-dua pasukan agar pergaduhan tidak tercetus dalam aksi cukup mendebarkan itu.

Penekanan daripada pihak pengurusan kelab amat penting dalam memastikan penyokong mereka tidak melakukan sesuatu di luar jangkaan.

Perang psikologi yang sentiasa berlaku antara kedua-dua penyokong pasukan perlulah dibendung lebih awal agar perlawanan nanti tidak dicemari dengan insiden buruk.

Pihak pengurusan perlulah menasihati penyokong mereka agar berkelakuan baik dan tidak membuat sebarang provokasi pada hari perlawanan.

Antara cara boleh diambil adalah dengan memberikan peringatan bahawa sekiranya perkara seperti itu berulang, ia hanya merugikan pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram