Pertama kali sertai kejohanan profesional, Marcus Lim bangga rangkul top 3 PKNS Selangor Masters


  • Podium
  • Sabtu, 22 Jun 2024

Marcus (tengah) ketika menerima hadiah kemenangan daripada RMS (dua dari kanan) dan beberapa wakil penaja PKNS Selangor Masters 2024.

KEJOHANAN PKNS Selangor Masters 2024 yang diadakan bermula Rabu sehingga Sabtu menyaksikan peserta hadir daripada pelbagai negara, termasuk dalam kalangan pemain tempatan.

Salah seorang peserta lokal yang berjaya mencipta nama dalam pertandingan berkenaan ialah Marcus Lim yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Dia yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 mengakui berdepan sedikit tekanan memandangkan ia merupakan kali pertama dia menyertai pertandingan di peringkat profesional.

BACA LAGI: RSGC-SportExcel makin rancak kembang bakat muda golf, anjur JIGC ke-9

BACA LAGI: Keindahan panorama alam beri ketenangan buat pemain golf

WhatsApp Image 2024-06-22 at 4.39.38 PM

Kedudukan akhir PKNS Selangor Masters selepas berlangsung selama empat hari.

"Saya ingin berterima kasih kepada kesemua pihak dalam pertandingan ini. Saya sangat berbangga dengan kedudukan akhir meskipun saya rasa kurang berpuas hati (dengan pencapaian)," katanya.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah PKNS Selangor Masters yang turut dihadiri Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada Sabtu.

Dalam kejohanan tersebut, peserta dari India, Rahil Gangjee muncul juara sementara pemain dari Australia, Deyen Lawson berada di tangga kedua.

Bagaimanapun, perbezaan mata dalam kelompok tiga teratas tidaklah terlalu hebat, sekali gus menjadikan pencapaian Marcus Lim dalam pertandingan berkenaan cukup berharga.

"Ini merupakan sukan golf, apa-apa sahaja boleh berlaku. Jadi, sedikit tekanan untuk beraksi dengan mata pendahuluan di tangan sendiri.

"Walaupun saya harap memiliki permulaan lebih baik hari ini, saya mencatatkan 'bogey' dalam dua lubang pertama. Namun, selain daripada perkara itu, semuanya berjalan lancar.

"Ia adalah pertandingan profesional pertama yang saya sertai, jadi saya rasa bangga dengan cara ia berakhir. Jadi, saya harap saya dapat meneruskan rentak dan momentum ini.

Selepas ini, Marcus akan berentap dalam satu kejohanan Jelajah Toyata bagi Piala Fortuner di Kelab Golf Sibu (KGS) di Sibu, Sarawak bermula Selasa hingga Khamis akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram