SIAPA sangka di Malaysia, terdapat lapangan golf yang indah dengan landskap memukau pandangan, dikelilingi tumbuhan menghijau, bukit-bukau di kaki langit nan membiru di desa atau di tengah kota.
Golf merupakan sukan yang memerlukan fokus yang tinggi dan ketelitian. Tunduk seperti bertafakur sebelum menghayunkan kayu golf dapat menghilangkan tekanan dan kebimbangan dalam fikiran seseorang. Lebih-lebih lagi apabila dikelilingi alam semula jadi, pemandangan yang indah dan udara segar akan menambahkan lagi ketenangan.
Di Malaysia terdapat lebih 140 padang golf berkualiti. Pastinya, tidak ada keperluan untuk meneroka sempadan semata-mata untuk bermain golf di luar negara.
Kepelbagaian keajaiban alam semula jadi di Malaysia membolehkan pemain golf boleh memilih mana-mana landskap paling sesuai untuk mereka, sama ada hutan hujan, pantai yang bersih atau di lereng-lereng gunung.
Johor adalah lokasi yang mempunyai beberapa kelab golf yang direka dengan keindahan alam semula jadi. Misalnya, Kelab Golf Senibong (sebelum ini dikenali sebagai Kelab Desa Poresia) mempunyai padang golf 18 lubang.
Kelab Golf dan Desa Damai berlatar belakang Laut Cina Selatan.
BACA LAGI: Gabungan menu makan kenduri 3 kaum jadi 'rencah' Destinasi Rasa 2024
Kebiasaannya, pemain golf mengambil kesempatan untuk melihat pemandangan kawasan sekitar. Ini termasuklah sudut pandang terbaik keseluruhan padang. Pusat Peranginan Golf Forest City pula mempunyai dua padang golf yang memanfaatkan sepenuhnya keindahan semula jadinya. Padang klasik 18 lubang itu terletak di atas tanah paya yang rata.
Padang Jack Nicklaus Legacy pula direka oleh legenda golf dan anaknya, Jack Nicklaus II memaparkan landskap seperti padang pasir yang membuatkan pemain golf seolah-olah berada di Asia Barat.
Mula dibuka pada 2008, Horizon Hills Golf & Country Club berkeluasan 485.6 hektar pula memantapkan kelab itu sebagai kemudahan utama bermain golf di rantau ini dalam tempoh yang agak singkat.
Diambil sempena nama keluarga juara utama empat kali dan bekas pemain nombor satu dunia, Ernie Els, The Els Club sudah pasti syurga buat pemain golf.
Ada tiga padang golf di Malaysia dengan The Els Club Desaru Coast, Ocean Course dan Valley Course menjadi kebangaan di Johor.
Padang golf pertama adalah padang 27 lubang yang dibuat oleh Els sendiri, ia menghadap Laut China Selatan, manakala yang terakhir adalah padang 18 lubang. Ia direka oleh juara utama tiga kali, Vijay Singh.
Padang golf ketiga, Els Club terletak di Pulau Langkawi, Kedah. The Els Club Teluk Datai - Rainforest Course adalah padang golf juara 18 lubang par 72 yang direka bentuk semula oleh pemain golf legenda itu.
Dikelilingi oleh kehijauan hutan dan air biru Laut Andaman, pemandangan menakjubkan kelab itu bukan sesuatu yang menghairankan apabila menerima pengiktirafan bagi Padang Golf Baharu Terbaik Asia dan Padang golf Baharu Terbaik Dunia pada Anugerah Golf Dunia 2014.
Borneo
Kepelbagaian flora dan fauna di Kepulauan Borneo turut menawarkan pengalaman bermain golf yang tiada tandingan di Sarawak, mahupun di Sabah.
Kelab Golf dan Desa Damai di Santubong misalnya, membolehkan pemain golf berehat daripada kesibukan kehidupan kota.
Terletak 35 kilometer (km) dari Kuching, lokasinya membolehkan pemain golf kembali ke alam semula jadi menikmati pemandangan Gunung Santubong sambil bermain golf di sepanjang singkapan berbatu, pantai dan hutan paya bakau.
Sutera Harbour Golf & Country Club terletak berhampiran bandar Kota Kinabalu, Sabah.
Kelab Golf Sarawak yang terletak hanya 10km dari pusat bandar pula, adalah antara destinasi utama untuk bermain golf di negeri berkenaan. Padang golf 36 lubang itu terbahagi dua iaitu padang Siol/Demak yang menghadap utara dan padang Matang/Santubong yang menghadap ke selatan menawarkan pemandangan pergunungan itu.
Para tetamu di Dalit Bay Golf & Country Club, Kota Kinabalu, Sabah pula dapat menikmati pengalaman bermain golf yang terbaik menerusi padang 18 lubang. Keindahannya cukup memukau kerana ia bersempadan dengan dua sungai manakala Gunung Kinabalu tersergam indah sebagai latar belakang.
Kepada mereka yang mencari padang golf lebih selesa, boleh ke Sutera Harbour Golf & Country Club. Terletak hanya 10 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu, kelab itu menawarkan padang golf 27 lubang yang direka oleh pemain Australia yang juga arkitek golf, Graham Marsh.
Utara
Bergerak ke utara Semenanjung Malaysia, Bukit Jawi Golf Resort di Pulau Pinang menjadikan percutian hujung minggu yang sempurna untuk penggemar golf. Resort indah yang dihiasi dengan pokok palma itu mempunyai dua padang golf.
The Hill Course, padang golf kejohanan par 72 18 lubang pula sesuai untuk pemain yang hebat. Seperti namanya, padang golf yang ditawarkan mempunyai cabaran tersendiri.
Kepada peminat golf, berkunjung ke Kelab Golf dan Desa Kuala Lumpur (KLGCC) di Mont Kiara adalah sesuatu yang wajib.
Kelab berkenaan telah menjadi tuan rumah kepada beberapa kejohanan golf antarabangsa yang berprestij seperti Jelajah PGA - CIMB Classic, Jelajah Eropah, Terbuka Malaysia dan Jelajah LPGA - Kejohanan Maybank.
KLGCC di Kuala Lumpur antara 100 padang golf terbaik di Asia.
BACA LAGI: Pilihan masakan kampung hingga mi tarik, Food Network Summit USJ syurga penerokaan gastronomi!
Pada 2022, ia telah dipilih sebagai padang golf nombor satu di Malaysia dan nombor 19 keseluruhan di Asia oleh Top 100 Golf Courses.
Glenmarie Hotel & Golf Resort (GHGR) di Shah Alam, Selangor, sering menjadi lokasi tumpuan penggemar sukan golf yang tinggal di bandar raya berdekatan. Khabarnya, GHGR memiliki dua padang golf bertaraf kejohanan.
Templer Park Country Club, Rawang, Selangor pula menawarkan padang golf dengan persekitaran yang tenang. Bukit batu kapur Bukit Takun yang begitu terserlah di tengah-tengah kehijauan, menawarkan latar belakang menarik untuk padang golf 18 lubang berkenaan.
Untuk maklumat lanjut destinasi golf yang kaya dengan alam semula jadi di seluruh Malaysia boleh layari https://www.malaysia.travel/. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram