[VIDEO] Nak selamatkan anak, wanita cedera kena sondol kerbau korban terlepas ikatan di Sabah


  • Tular
  • Selasa, 18 Jun 2024

Seekor kerbau terlepas hingga mencederakan seorang wanita.

SEORANG wanita mengalami kecederaan selepas disondol oleh seekor kerbau dalam kejadian yang berlaku di Sabah pada Isnin.

Menurut The Star, kerbau yang hendak dikorbankan oleh penduduk Kampung Rampayan, Manggatal terlepas dari ikatan lalu melarikan diri.

Ia kemudiannya menyondol seorang wanita berusia sekitar 40-an hingga mengalami retak tulang kaki kiri dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

BACA LAGI: [VIDEO] Didakwa tidak patuhi SOP sembelihan, gadis melambung ke udara ditanduk lembu korban

BACA LAGI: [VIDEO] Lembu korban terlepas di LDP langgar kereta, perakam diminta tampil bantu siasatan

Menurut Timbalan Pengerusi Surau Ar-Rahman Kampung Tobur, Ali Osman Ismail, di mana kejadian itu berlaku, kerbau tersebut terlepas selepas tali ikatannya terputus sewaktu hendak memindahkan haiwan tersebut untuk tujuan korban.

Ia kemudiannya berpusing-pusing di kawasan sekitar dan hampir merempuh seorang kanak-kanak namun ia diselamatkan oleh mangsa yang merupakan ibunya.

"Ketika kejadian, penduduk kampung sedang memindahkan kerbau untuk disembelih namun salah satu tali pada kerbau terputus menyebabkan ia terlepas.

"Kerbau itu berlari dan berpusing di sekitar kawasan penyembelihan sambil merempuh penduduk kampung yang berada di tempat kejadian.

"Seorang penduduk kampung ketika itu mahu menyelamatkan anaknya namun dia pula yang dirempuh oleh haiwan berkenaan sehingga cedera," ujarnya.

Kerbau tersebut merupakan sebahagian daripada lima ekor haiwan serupa yang dikorbankan pihak surau sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pihak surau kemudiannya berjaya menangkap kerbau tersebut dan ia selamat dikorbankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram