KEDAI emas yang menjadi mangsa rompakan empat lelaki bersenjata di Kajang, Selangor pada Isnin mengalami kerugian sebanyak RM3.2 juta.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata, suspek yang menyamar sebagai pengawal keselamatan masih lagi bebas.
"Berdasarkan laporan dan siasatan dijalankan mendapati kerugian dianggarkan sebanyak RM3.2 juta.
"Sehingga kini tujuh saksi sudah diambil keterangan dan akan ada beberapa orang saksi lagi akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan," kata Nasir.
Menurut Nasir, kesemua empat suspek rompakan kedai emas tersebut memakai topeng dan sarung tangan. Mereka juga didapati membawa dua pucuk pistol serta satu laras senapang.
Ketika kejadian yang berlaku pada 3.17 petang, suspek masuk ke dalam premis dan terus memecahkan kaca cermin pameran dengan tukul lalu mengambil barang kemas.
Pada masa sama, suspek juga ada melepaskan satu das tembakan ke arah dinding kedai.
Tambah Nasir, kesemua suspek kemudiannya melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di tingkat bawah pusat beli-belah tempat kedai emas itu berada.
Kejadian ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram