[VIDEO] Tak sedar England menang, penyokong The Three Lions tertidur lebih 5 jam di stadium


  • Podium
  • Selasa, 18 Jun 2024

Lelaki itu bangun dalam kesejukan sehingga badannya menggigil selepas hampir lima jam tertidur.

KEJAYAAN England meraih tiga mata pertama dalam aksi Kumpulan C, kejohanan Euro 2024 di Veltins Arena, Gelsenkirchen semestinya menggembirakan penyokong skuad The Three Lions lagi-lagi yang sanggup terbang ke Jerman untuk menyaksikannya pada Ahad.

Kemenangan itu diraih selepas bintang Real Madrid, Jude Bellingham bijak menghidu lambungan lintang Bukayo Saka untuk menanduk masuk gol pembukaan England pada minit ke-13.

Sebagai rekod, ia merupakan gol keempat Bellingham bersama skuad senior The Three Lions.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Grip' kepala lawan sebelum hentak ke padang, bintang Sepanyol terlepas hukuman siap jaringkan gol

BACA LAGI: Roy Keane balun bintang Liverpool lepas Scotland dibelasah Jerman

Hari bersejarah England itu bagaimanapun tidak sempat disaksikan oleh salah seorang penyokong skuad The Three Lions apabila dikatakan tertidur di tempat duduknya di stadium berkenaan.

Menerusi perkongsiannya di laman TikTok, lelaki berkenaan memberitahu bahawa ketika dia bangun kira-kira pukul 4 pagi keesokan harinya (Isnin), dia masih di tempat duduknya dengan keadaan stadium yang kosong sepenuhnya.

Lebih teruk lagi apabila lelaki itu bangun dalam kesejukan sehingga badannya menggigil selepas hampir lima jam tertidur. Dia juga menimbulkan persoalan bagaimana petugas stadium dan keselamatan tidak mengejutnya.

ss england

Tangkap layar video yang dimuat naik lelaki berkenaan.

"Saya baru bangun. Sekarang pukul 4 pagi. Saya menggigil di kawasan Schalke," katanya sambil menunjukkan stadium yang berkapasiti 62,000 itu sudah kosong sepenuhnya.

Melihat ruangan komen penyokong bola sepak global, ada yang bergurau bahawa prestasi England yang agak hambar walaupun menang membuatkan peminatnya tertidur semasa perlawanan berkenaan.

Terdapat banyak kritikan yang ditujukan kepada pengendali England, Gareth Southgate kerana pendekatannya yang terlalu berhati-hati menentang Serbia walaupun pasukan itu lawan lebih mudah dalam kejohanan berkenaan.

Selepas ini, The Three Lions akan bermain perlawanan seterusnya menentang Denmark di Deutsche Bank Park, Frankfurt dan berharap untuk memastikan laluan mereka ke Pusingan 16 dengan kemenangan kedua berturut-turut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram