Liga M sedang tenat, jangan malu langkah ke belakang


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jun 2024

JDT, Selangor dan Terengganu antara tiga kelab yang dijangka kekal bersaing dalam Liga Malaysia.

KEMELUT tunggakan gaji yang kini dihadapi oleh beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) dilihat belum menemui jalan penyelesaian.

Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang FC, Sabah FC dan Perak FC antara kelab Liga M yang sedang bergelut dengan kemelut kewangan tersebut.

Bercakap mengenai isu tunggakan gaji, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli beranggapan bahawa industri bola sepak tanah air kini sedang tenat.

BACA LAGI: Liga Malaysia bakal melingkup tidak lama lagi? Penganalisis jangka hanya 3 pasukan kekal bersaing

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hadiah perkahwinan', pengantin lelaki kena beduk abang ipar sejurus akad nikah lepas kantoi buat ugutan bunuh

TFC

Setakat ini, Terengganu antara kelab Liga M masih belum pernah terpalit dengan masalah tunggakan gaji. — Facebook/TFC

"Ekosistem dan persekitaran liga bola sepak negara kita kini semakin tidak sihat dan tenat.

"Pelbagai kontroversi muncul. Ini menyebabkan keghairahan penyokong semakin terhakis, tiada rangsangan keghairahan dan mereka tidak bernafsu untuk ke stadium," katanya kepada Majoriti.

Susulan itu, Pekan turut memberi pandangan agar kelab yang terlibat dalam isu gaji berkenaan perlulah melakukan transformasi dengan kadar segera bagi membantu pasukan masing-masing.

Tambahnya lagi, setiap kelab terbabit tidak perlu malu sekiranya perubahan yang dilakukan kelak akan mengundang kecaman.

"Pandangan saya, transformasi segera perlu dilakukan. Jangan malu untuk berubah biarpun ianya seperti mengundur ke belakang atau bagaikan terpaksa merendah diri.

"Liga Malaysia sememangnya memerlukan penstrukturan semula,"ujarnya.

Pekan menyarankan agar pihak pengurusan kelab membuat perubahan demi kebaikan kelab masing-masing.

Sekiranya tiada perubahan dilakukan oleh kelab terbabit, sudah tentu setiap pasukan perlu menerima hakikat bahawa saingan Liga M mungkin 'hilang' pada masa akan datang.

"Buatlah perubahan bukan kerana ianya memberi kebaikan untuk satu-satu pasukan, tetapi mestilah kebaikan itu untuk semua pasukan atau kelab termasuk skuad kebangsaan.

"Jika tidak dilakukan dengan segera, Liga Malaysia menunggu masa untuk terhumban ke laut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram