Luka Faisal Halim belum kering, sudah mula jalani fisio ringan — CEO Selangor


  • Podium
  • Selasa, 11 Jun 2024

Faisal dilaporkan masih berulang-alik ke hospital bagi mencuci lukanya. — Agensi

LUKA yang dialami oleh pemain kebangsaan, Faisal Halim selepas disimbah asid pada awal Mei lepas masih lagi belum kering, lapor Berita Harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, luka yang dialami oleh Faisal itu masih belum kering tetapi pemain tersebut sudah pun menjalani fisioterapi ringan bagi menguatkan semula ototnya.

Johan juga mengesahkan yang Faisal masih berulang-alik ke hospital bagi membersihkan luka yang dialaminya, selain sudah menjalani fisioterapi ringan supaya ototnya tidak terlalu keras.

BACA LAGI: Genap 30 hari insiden Faisal Halim, ada 7 peristiwa penting perlu diingati

BACA LAGI: Selangor FC cari jalan terbaik, Faisal Halim dapat kembali beraksi musim ini

15072022_Ketua_Pegawai_Eksekutif_Selangor_FC__Dr._Johan_Kamal_Hamidon_-NOOREEZA_HASHIMIMG_6242

Dr Johan Kamal Hamidon. — Agensi

Johan mengatakan yang perjalanan Faisal untuk kembali beraksi masih lagi panjang dengan dia masih dilarang daripada melakukan aktiviti lasak.

Akan tetapi, dia tidak menafikan Faisal begitu tidak sabar untuk kembali beraksi buat Selangor.

"Keutamaan kita buat masa ini adalah supaya lukanya kering sepenuhnya. Selagi lukanya belum kering, dia tidak boleh memulakan aktiviti lasak. Dia ada membuat fisioterapi ringan yang tidak berpeluh sangat supaya ototnya tidak terlalu keras.

"Dia perlu melengkapkan fasa pertama ini dahulu sebelum boleh mula memasuki fasa kedua. Masih ada luka basah ketika saya melawatnya sebelum ini, ada kuning-kuning yang saya tidak pasti, mungkin nanah tetapi yang jelasnya luka itu belum lagi kering," kata Johan.

Johan mengatakan yang Faisal benar-benar seorang pemain yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Setakat ini, dia berjaya mengatasi segala jangkaan yang ditetapkan oleh pihak hospital.

Sebelum ini, pihak hospital menjangkakan Faisal akan menjalani sembilan pembedahan tetapi pemain itu cuma mengharungi empat kali prosedur.

Malah, Faisal juga sepatutnya perlu berada di hospital selama tujuh minggu tetapi selepas empat minggu, pemain tersebut sudah discaj.

"Saya rasa ini berkat doa seluruh rakyat Malaysia dan ketika ini, dia hanya fikir untuk kembali ke padang. Semangatnya begitu besar tetapi badannya masih belum bersedia.

"Saya katakan kepada Faisal supaya dapat bersabar, ambil masa untuk sembuh sepenuhnya dan fokus kepada kecergasan sebelum dapat kembali bermain," ujar Johan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram