REZEKI untuk Malaysia menjadi 18 pasukan Asia terbaik tidak menjadi kenyataan apabila Harimau Malaya gagal layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Ia terjadi selepas Malaysia menduduki tangga ketiga kumpulan D dengan Oman dan Republik Kyrgyz berjaya layak ke pusingan seterusnya.
Dengan menduduki tempat ketiga, Malaysia akan merebut tempat ke Piala Asia 2027 di pusingan ketiga kelayakan kejohanan tersebut.
BACA LAGI: Kelayakan Piala Asia: 2 seteru Asean, jaguh Asia Tengah boleh rosakkan misi wajib juara Malaysia
BACA LAGI: [VIDEO] 'Biar dia selesaikan misi', ekor Harimau Malaya mahu FAM kekalkan Kim Pan-gon
Jelas sekali semua pihak kecewa kerana impian ke Piala Dunia musnah sekali lagi. Realiti ini ternyata perit kerana sebenarnya Harimau Malaya adalah wakil Asean yang beraksi paling cemerlang ketika pusingan kelayakan.
Dalam data yang dikumpulkan oleh Asean Football, laman tersebut mendedahkan Malaysia adalah negara Asia Tenggara paling baik dalam kelayakan Piala Dunia apabila mengumpul mata terbanyak.
Dibandingkan dengan enam negara Asia Tenggara lain, Malaysia muncul pasukan terbaik dengan mengutip 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Rekod itu disamai oleh Indonesia yang mengutip jumlah mata serupa dengan kedua-dua negara mencatatkan perbezaan jaringan setara iaitu sifar.
Namun begitu, nasib berbeza buat kedua-duanya apabila Malaysia gagal mara dan Indonesia menjadi wakil tunggal Asean di pusingan ketiga.
Skuad kendalian Kim Pan-gon nyata menjadi mangsa kepada tahap kompetitif tinggi kumpulan D hinggakan Malaysia sekadar di tempat ketiga kumpulan.
Sementara Indonesia di kumpulan F diundi bersama-sama Iraq, Filipina dan Vietnam. Menentang dua seteru Asia Tenggara nyata memberikan kelebihan buat Sang Garuda untuk mara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram