Dituduh belum lepaskan jawatan, Izhar Moslim ke Indonesia sebagai fans Selangor keluar duit belanja sendiri


  • Podium
  • Selasa, 18 Jun 2024

Izhar sering dipersalahkan atas isu dalaman skuad Gergasi Merah sepanjang keberadaannya dalam pengurusan FAS.

SELEPAS menjalani proses penswastaan, Selangor FC sudah beberapa kali mengalami rombakan pengurusan untuk memastikan kelab itu kembali berada di landasan.

Tahun 2022 menyaksikan perkara itu berlaku dengan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Izhar Moslim meletakkan jawatan meskipun individu tersebut memainkan peranan penting bersama pemilik kelab, Raja Muda Selangor (RMS).

Antara punca utama di sebalik keputusannya adalah apabila dia sering menjadi tumpuan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Idris di media sosial.

BACA LAGI: Tak sudah-sudah dikritik, Izhar Moslim rupanya antara yang pernah menghadap TMJ sebelum ambil alih Selangor

BACA LAGI: 'Terima kasih Izhar Moslim', RMS minta penyokong tidak terpengaruh unsur luar

448538354_122119991342306426_6073816773260355048_n

Izhar (kiri) beberapa kali kelihatan hadir ke stadium untuk menyaksikan aksi Selangor FC.

Menurutnya, Izhar sering membuat salah laku sehingga mendatangkan kerugian terhadap skuad Gergasi Merah yang berdepan prestasi tidak menentu pada awal penswastaannya.

Bagaimanapun, dalam dua musim kebelakangan ini, terdapat persoalan timbul mengenai keberadaan Izhar setiap kali Selangor FC beraksi, lebih-lebih lagi di laman sendiri.

Ini turut disaksikan baru-baru ini apabila dia kelihatan berada di Indonesia ketika RCTI Premium Sport dengan pelbagai pihak bertanyakan keberadaannya, termasuk akaun Facebook Bola Tribe.

"Izhar Moslim dikatakan letak jawatan dalam Selangor FC pada 2022, namun kelibatnya di Jakarta bersama pengurusan yang lain amat meragukan," katanya dalam satu hantaran.

Perkara itu lantas menerima respons segera daripada Izhar sendiri yang mengatakan dia hanya hadir sebagai penyokong Selangor FC dengan perbelanjaannya tidak ditanggung mana-mana pihak.

448617852_951570796978484_1416833123324989184_n

Izhar (bulatan) didakwa masih belum melepaskan jawatannya dalam FAS. Facebook/Bola Tribe

"Saya pergi sebagai penyokong sahaja, tak boleh ke? Guna duit sendiri, semua bayar sendiri. Semua yang saya kenal di Selangor FC tu kawan saya, tidak boleh bergambar? Jangan cetek sangat minda itu," katanya menerusi komen.

Dalam aksi RCTI Premium Sports, skuad Gergasi Merah muncul juara selepas menundukkan Sabah FC di peringkat separuh akhir dan Persija Jakarta dalam perlawanan akhir.

Meskipun hanya satu pertandingan persahabatan, ratusan penyokong Selangor FC masih sanggup hadir ke Indonesia untuk memberikan sokongan terhadap kelab Lembah Klang itu.

Sepanjang berada dalam pengurusan FAS, Izhar sering dipersalahkan atas masalah dalaman kelab, namun pernah mempersoalkan isu berkenaan apabila dia dianggap menjadi 'kambing hitam'.

Jawatan Naib Presiden FAS kini diisi Datuk Abdul Rauf Ahmad, Datuk P. Sugumaran, Mohd Yunus @ Iskandar Md Noor dan R. Sekar Chandaran dengan masing-masing akan berada dalam posisi itu sehingga 2026. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram