Difitnah nak masuk bilik player Selangor FC, fans jelita buat repot polis


  • Podium
  • Selasa, 18 Jun 2024

Tangkap layar laporan polis (kiri) yang dibuat Syuhada pada Ahad.

ISU seorang penyokong wanita Selangor FC yang mendakwa dirinya menjadi mangsa layanan buruk oleh staf kelab, Nur Syuhada memasuki episod baharu lagi apabila wanita itu membuat laporan polis terhadap seorang individu.

Menerusi hantaran di laman Facebook peribadinya, Syuhada membuat laporan polis terhadap seorang lelaki yang mendakwa melihat wanita itu masuk ke bilik persalinan pemain Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor.

BACA LAGI: Selangor sudah hubungi fans jelita, Nur Syuhada bertegas tidak akan sokong Gergasi Merah lagi di MBPJ

BACA LAGI: Dakwa dimalukan staf kelab, fan jelita Selangor luah rasa kecewa

"Tak sabar nak jumpa lelaki ini, harap angkat lah telefon pegawai penyiasat (IO) tu. Kalian memang tak penat fitnah orang ke?

"Benda lain kalian boleh nak cakap tapi jangan sampai menfitnah. Tidak sabar nak duduk semeja tanya kenapa macam ini, " tulisnya sambil memuat naik gambar laporan polis yang sudah dibuatnya di Balai Polis Selayang pada Ahad.

Menyoroti hantaran Syuhada di Facebook, tindakan untuk membuat laporan polis itu dilakukan susulan komen salah seorang warganet, Acit Zainal Abidin yang mendakwa melihatnya cuba masuk ke bilik persalinan Gergasi Merah.

Menurut dakwaan lelaki berkenaan, tindakan Syuhada yang pernah cuba mencari peluang memasuki bilik persalinan menjadi faktor pegawai keselamatan di MBPJ mula berhati-hati dengan penyokong wanita terbabit.

"Selalu juga jumpa dia ini kalau ada perlawanan. Pernah bila kami dah minta semua keluar dari stadium dia bagi alasan nak pergi tandas. Pelik lama sangat di tandas.

"Bila periksa balik rupanya dia nak cari peluang masuk bilik pemain. Sejak itu kami pasukan marshal akan berhati-hati sikit dengan dia ini," dakwa pengguna Facebook itu.

Terdahulu, Syuhada mengeluarkan kenyataan mengatakan dia dimalukan oleh pihak kelab semasa berada di MBPJ, Kelana Jaya sewaktu Selangor berdepan Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super dan Piala FA.

Menurut Syuhada, dia berasa kesal dengan tindakan tersebut kerana diperlakukan seperti seorang penjenayah sedangkan selama ini wanita berkenaan tidak putus-putus memberi sokongan kepada Selangor.

Rentetan isu berkenaan, Syuhada sekali lagi mengeluarkan kenyataan menerusi laman Facebook pada Ahad dengan mengatakan pihak pengurusan Selangor menghubunginya berkenaan perkara tersebut.

Namun begitu, Syuhada memilih untuk tidak memberikan kerjasama terhadap kelab Liga Super tersebut. Dia juga memilih untuk tidak menyokong Gergasi Merah di masa depan apabila mereka beraksi di MBPJ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram