DI mana silapnya? Demikian persoalan bermain di fikiran setiap penyokong jika berbahas mengenai isu tunggakan gaji yang sedang menjadi bebanan buat beberapa kelab Liga Super musim 2024/2025.
Penyakit masih belum jumpa penawar itu dikesan lebih awal daripada kebiasaannya apabila aksi Liga Super yang baru saja berlangsung tiga perlawanan namun sudah ada kelab terpalit dengan isu tunggakan gaji.
Jika dilihat berdasarkan beberapa laporan media, empat kelab yang mengalami tunggakan gaji seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang FC, Sabah FC dan Perak FC sedang bergelut untuk menyelesaikan kurang satu hingga ke empat bulan itu.
BACA LAGI: Orang kuat Perak FC tak nafi ada isu gaji, ajak fans beli 'merchandise' selesaikan masalah
Isu gaji The Rhinos mula dihidu apabila beberapa pemain memberi isyarat empat jari, yang membawa maksud tunggakan dialami sehingga empat bulan. Tetapi kini, pihak pengurusan difahamkan sudah menyelesaikan satu bulan gaji.
Beberapa pemain dari kem Sri Pahang pula memberi petunjuk halus mengenai masalah kewangan skuad Tok Gajah yang berhubung kait dengan tunggakan gaji selepas mereka memuat naik luahan berbentuk sindiran dan gesaan kepada pihak pengurusan.
Kedah pula difahamkan turut bergelut dengan masalah kewangan dan khabar angin di media sosial memaklumkan, pemain Sang Kenari masih belum menerima gaji bagi saingan musim baharu ini.
Manakala, Perak FC yang kini dimiliki oleh syarikat telekomunikasi terkenal, XOX Berhad berkenaan dilaporkan turut mengalami masalah sama apabila didakwa tidak membiayai gaji pemain sekitar setengah bulan.
Masalah empat kelab itu dibimbangi akan melarat sehingga mencecah enam bulan tunggakan atau lebih dan sekali gus menurunkan moral pemain untuk terus bermain dengan persembahan terbaik setiap kali perlawanan liga.
Bobie Farid kecewa ada sesetengah pihak tidak memainkan peranan dengan baik dalam memberi sokongan kepada Perak. — Facebook/Perak FC
Jika pemain sudah tidak mempunyai motivasi untuk beraksi, liga juga akan menjadi tidak sihat apabila pasukan yang terpalit dengan masalah gaji nyata tidak mampu memberi saingan kepada kelab konsisten.
Ikut cari Terengganu, Penang dan Selangor FC
Sebelum membiarkan banyak kelab mengangkat bendera putih daripada beraksi di divisyen tertinggi Liga M, salah satu talian hayat yang boleh membantu empat kelab berkenaan adalah mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri.
Walaupun Liga Malaysia sudah diswastakan kira-kira pada sembilan tahun lalu dan kesemua kelab juga turut berada melalui proses sama namun masih ada pasukan yang menerima dana daripada kerajaan negeri.
Terengganu FC (TFC) misalnya, diletak dalam organisasi kerajaan negeri sebagai salah satu cabang jabatannya dan difahamkan saban tahun menerima tajaan untuk terus bertahan di saingan liga.
Laporan menyebut Terengganu pernah menerima RM20 juta pada 2023 dari susulan pencapaian luar jangkaan tercapai antaranya adalah kejayaan Terengganu FC beraksi di pentas akhir Piala FA serta mara ke Piala AFC.
Setakat ini, Terengganu masih belum pernah terpalit dengan masalah tunggakan gaji. — Facebook/TFC
Selain skuad Sang Penyu, kem Penang FC juga masih menerima 'payung' kerajaan negeri apabila meraih bantuan seperti menambahbaik fasiliti seperti Stadium Bandaraya di George Town.
Bukan itu sahaja, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan baharu Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen juga sering tampil memberikan sokongan dan antara tulang belakang kepada misi mengembalikan Harimau Kumbang di landasan yang benar musim ini.
Selain TFC dan Penang, Selangor FC juga masih menerima dana dari kerajaan negeri dengan musim ini Gergasi Merah mendapat dana RM10 juta seperti diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Belanjawan 2024.
Dana berkenaan adalah untuk memastikan persediaan rapi dapat dilakukan untuk musim ini dan ia termasuk membantu pengurusan kelab dalam menguruskan pasukan dari peringkat belia hingga ke pasukan utama.
Suntikan dana yang diterima Selangor, Terengganu dan Penang daripada kerajaan negeri masing-masing dilihat sebagai safety net yang boleh mengelakkan kelab daripada mengalami masalah kewangan seperti isu tunggakan gaji.
Selangor FC antara pasukan yang tidak terpalit dengan isu tunggakan gaji. — Facebook/SelangorFC
Campur tangan daripada kerajaan negeri ini juga sebenarnya ditunggu-tunggu oleh pemilik kelab semasa seperti Bobie Farid Shamsudin selaku Ketua Pegawai Eksekutif Interim, Perak FC yang mahu sokongan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Selain itu, pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar apabila mengagumi pentadbiran negeri Selangor yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pasukan The Red Giants itu.
Jika masalah ini berlarutan, sudah pasti Liga Super akan hilang serinya dengan penutupan kelab gergasi seperti nasib yang menimpa Kelantan FC, Sarawak United dan Perlis United sebelum ini.
Pengelola Liga Super, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga seperti sudah ketandusan idea untuk menangani isu gaji saban tahun.
Mungkin ini petunjuk bawah Liga Malaysia masih belum bersedia untuk diswastakan sepenuhnya dan satu mekanisme lain diperlukan bagi menyelamatkan liga kesayangan ramai ini.
Apa formulanya? Biarlah MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia yang fikirkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram