LEGENDA Terengganu, Che Ku Marzuki menganggap lambakan pemain import dalam skuad Sang Penyu bukanlah satu ancaman terhadap prestasi mereka musim ini.
Dia yang pernah terlibat dalam pengurusan kelab beberapa kali sebelum ini malah menganggap kehilangan tonggak pasukan merupakan ancaman terhebat buat Terengganu FC.
"Pemain import banyak membantu pasukan dan juga pemain lokal semua sudah profesional, begitu juga pegawai pasukan yang sentiasa bersama pemain. Daripada sinilah tiadanya usul benci dan dengki dalam kelab.
BACA LAGI: Kegembiraan Sabah dibayangi kegusaran, perlu lebih kerja keras lawan Terengganu
BACA LAGI: Perak main lain macam, tetapi Terengganu masih ada kelebihan — M Karathu
"Jangan kita lupa apabila adanya jurulatih import, kebiasaanya pemain akan bersungguh-sungguh semasa latihan. Itu sebabnya prestasi secara individu pemain lokal dan import sangat baik.
"Yang menjadi masalah adalah sekiranya pemain seperti tonggak pasukan mengalami kecederaan, ini akan menyulitkan keadaan," katanya kepada Majoriti.
Setakat ini, skuad Sang Penyu hanya kehilangan khidmat penjaring terbanyak pasukan musim lalu, Ivan Mamut yang dilaporkan sudah kembali ke padang latihan.
Che Ku (kiri) sudah beberapa kali terlibat dalam pengurusan skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FA
Pemain lain seperti Azam Azmi Murad dan Akhyar Rashid yang cedera pada permulaan saingan Liga Super sudah kembali beraksi, namun boleh dikatakan belum berada di tahap terbaik.
Selepas tiga aksi Liga Super, Terengganu FC berada di tangga kedua dengan dua kemenangan dan satu keputusan seri direkodkan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu.
Dalam saingan Piala FA pula, kelab Pantai Timur berkenaan sudah menempah slot di pusingan suku akhir selepas menyingkirkan Perak FC di pusingan pertama minggu lalu.
Harapan tinggi sudah tentu diletakkan penyokong dengan skuad Sang Penyu pasti mahu mendapatkan slot ke pentas Asia musim depan selepas gagal berbuat demikian pada 2023.
Ivan (kiri) yang cedera sudah kembali ke padang latihan. — Facebook/Terengganu FC
Menurut Che Ku lagi, barisan kejurulatihan Terengganu pula aktif dalam memberikan minit permainan serta peluang buat pemain demi memastikan kecergasan masing-masing di tahap terbaik.
"Ia adalah satu keperluan bagi setiap pemain untuk diberikan peluang bermain sekurang-kurangnya 15 minit supaya perkara yang selalu berlaku iaitu prestasi pemain simpanan kurang menyerlah tidak berlaku," katanya.
Untuk rekod, Che Ku atau lebih dikenali sebagai Jibang pernah beraksi buat Terengganu pada penghujung era 1970-an sebelum menceburi bidang kejurulatihan serta pengurusan.
Dia yang kini berusia 68 tahun pernah terlibat sebagai pengarah teknikal kelab-kelab amatur tanah air sepertu Kerteh City FC dan Batu Dua FC.
Tahun lalu, Che Ku masih lagi terlibat aktif dalam dunia bola sepak apabila bertugas sebagai ketua jurulatih Real Chukai FC yang bertanding dalam Piala Al-Ikhsan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram