TANPA kita sedar, sama ada ia benar-benar tepat atau tidak, kita mempunyai ramai pemain berdarah campuran Malaysia yang beraksi di luar.
Salah satunya adalah pemain kelahiran England iaitu Elliot Thorpe. Menurut pendedahan FR Future Talents, pemain tersebut mempunyai darah Malaysia menerusi nenek sebelah ibunya yang berasal dari Arau, Perlis.
Oleh itu, mari kita kenali siapakah pemain tengah yang merupakan produk akademi Tottenham Hotspur.
BACA LAGI: [VIDEO] Disebut berdarah Perlis, Malaysia mahu dapatkan bekas pemain Tottenham?
BACA LAGI: 'Saya nak main untuk Malaysia', peledak campuran Belanda dalam proses urus dokumentasi
Utiliti di tengah
Posisi semula jadi bagi Thorpe adalah di bahagian tengah dengan bermain sebagai central midfielder.
Namun begitu, Thorpe juga bersifat utiliti apabila dia juga boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang (attacking midfielder) serta pemain tengah bertahan (defensive midfielder).
Ini memberikan nilai tambah kepada pemain tersebut sebagai seorang pemain tengah. Dan semestinya, jika dia memilih untuk mewakili Harimau Malaya, Thorpe pastinya boleh menghadirkan saingan sengit untuk posisi tersebut.
Jika Thorpe mempunyai kelebihan dari segi pakar situasi bola mati, dia boleh dijadikan pengganti kepada Endrick dos Santos yang kini merupakan pakar situasi bola mati skuad kebangsaan.
Thorpe merupakan produk akademi Tottenham Hotspur. — Agensi
Berpengalaman di peringkat antarabangsa
Satu lagi nilai tambah yang ada pada Thorpe adalah dia mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.
Mewakili Wales yang merupakan negara kelahiran bapanya, Thorpe bermain dalam skuad bawah 17 tahun, bawah 19 tahun dan bawah 21 tahun negara itu.
Walaupun tidak memainkan peranan besar dalam skuad kebangsaan, tetapi dia sudah mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, pastinya dia sudah memahami tekanan beraksi di peringkat antarabangsa. Jika dia beraksi untuk Malaysia, Thorpe boleh memahami tekanan yang perlu dihadapinya sebagai pemain.
Potensi masih ada
Melihat kepada kariernya, perjalanan Thorpe dalam bola sepak masih di peringkat awal apabila dia baru berusia 23 tahun.
Oleh itu, dia boleh dianggap masih mempunyai potensi yang belum dipenuhi. Jika dia memilih untuk keluar daripada England, mungkin potensi itu boleh direalisasikan.
Thorpe bakal tidak mempunyai kelab selepas bulan Jun. — Agensi
Kontraknya bersama kelab semasa iaitu Luton Town akan berakhir pada akhir Jun dan dia tidak dikaitkan dengan mana-mana kelab.
Jika dia memilih untuk pergi ke Asia dan berjinak-jinak dengan Harimau Malaya, ia mungkin boleh membantunya bagi memenuhi potensi sebagai pemain tengah yang akhirnya akan memberi manfaat buat skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram