Kelayakan Piala Asia: 2 seteru Asean, jaguh Asia Tengah boleh rosakkan misi wajib juara Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Thailand antara negara berpotensi bertemu dengan Malaysia di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia. — FAM

SELEPAS gagal untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, tumpuan Harimau Malaya akan terarah kepada misi mengesahkan tempat di Piala Asia 2027.

Akan melalui jalan sama seperti Malaysia berjaya mara untuk edisi 2023, Kim Pan-gon perlu mengharungi satu lagi laluan sukar untuk mara ke Arab Saudi. Untuk rekod, undian bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia adalah pada 27 Jun di Kuala Lumpur.

Baki enam slot ke Arab Saudi menanti enam pemenang peringkat kumpulan di pusingan ketiga. Malaysia tiada sasaran lain selain menjadi juara, tapi ada tiga pasukan yang boleh meranapkan impian mereka.

Diletakkan dalam Balang 2 (Pot 2), Malaysia akan berdepan satu pasukan lebih kuat dalam pusingan kelayakan dan mereka mampu memusnahkan impian Malaysia untuk layak.

BACA LAGI: Semangat bangkit melawan ada dalam DNA Harimau Malaya — KPG

BACA LAGI: Bakat muda, 'beku' naturalisasi antara talian hayat KPG bantu kebangkitan Harimau Malaya

1. Vietnam

Salah satu pasukan yang berpotensi dijodohkan dengan Malaysia adalah Vietnam. Sejak beberapa tahun, Vietnam merupakan negara yang cukup sukar untuk kita tewaskan.

Terutamanya di era Park Hang-seo, Malaysia begitu sukar untuk meraih keputusan seri berdepan negara itu, apatah lagi meraih kemenangan.

vietnam-malaysia-aff_40b62db

Malaysia sukar untuk kalahkan Vietnam dalam beberapa tahun kebelakangan ini. — Agensi

Dengan pasukan yang terkenal dengan taktik licik, jika mereka bertemu di pusingan ketiga, adalah penting untuk Malaysia berhati-hati sambil beraksi lebih baik untuk meraih kemenangan.

Kini dipimpin seorang lagi jurulatih daripada Korea Selatan iaitu Kim Sang-sik, pastinya cabaran baharu menanti Malaysia berdepan negara ini.

2. Tajikistan

Sepanjang bertemu Tajikistan, Malaysia mempunyai rekod yang tidak baik apabila tewas dalam dua perlawanan di Piala Raja Thai serta Pestabola Merdeka.

Mereka nyata pasukan yang lebih baik terutamanya dari segi kelebihan teknikal dan fizikal lebih besar berbanding pemain tempatan.

Jika diundi bertemu, Malaysia perlu mencongak strategi untuk meraih keputusan positif berdepan mereka. Berdasarkan rekod lalu, jika berjaya seri pun sudah memadai.

Tajikistan merupakan pasukan yang dianggap 'liat' untuk ditewaskan Malaysia. Jika Malaysia ditakdirkan berjaya kalahkan mereka, biarlah ia terjadi sewaktu kelayakan Piala Asia.

2-2

Tajikistan mengalahkan Malaysia di perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023. — PFAM

3. Thailand

Satu lagi pasukan dari Balang 1 (Pot 1) yang jika ditemukan boleh merosakkan peluang Malaysia untuk ke Piala Asia adalah Thailand.

Sebagai raja bola sepak Asia Tenggara, Thailand sememangnya sukar untuk ditewaskan kerana mereka mempunyai ramai pemain berbakat dan bertaraf Asia seperti Theerathon Bunmathan, Chanathip Songkrasin dan Elias Dolah.

Sejarah pertemuan antara dua negara akhir-akhir ini menghasilkan pertemuan sengit dengan Thailand mempunyai sedikit kelebihan berbanding Malaysia.

Tiga negara ini walaupun sukar untuk ditentang tetapi disebabkan kita pernah bertemu dengan mereka, sedikit sebanyak Pan-gon dan barisan kejurulatihan tahu apa yang perlu dilakukan untuk menewaskan mereka.

Jika Malaysia berharap dapat mengelak daripada berdepan tiga negara ini, mereka boleh mencongak agar dijodohkan sama ada dengan India, Lubnan atau Syria yang turut berada di Balang 1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram