PEMAIN berdarah campuran semakin lama semakin mendapat tempat dalam pasukan-pasukan negara di rantau Asia Tenggara dengan Malaysia juga termasuk dalam kalangan yang menagih khidmat mereka.
Misalnya, dalam kejohanan Piala Asia Qatar pada awal tahun ini menyaksikan pengendali Kim Pan-gon memberi kepercayaan kepada sembilan pemain berdarah campuran untuk mewakili Malaysia.
Antaranya ialah Matthew Davies, Daniel Ting, Junior Eldstal, Dion Cools, Corbin Ong (pertahanan), Stuart Wilkin, Brendan Gan, Natxo Insa (tengah) dan Darren Lok menjadi wakil tunggal di bahagian serangan.
Kehadiran mereka dalam skuad kebangsaan tidak dinafikan melonjak kembali prestasi pasukan kebangsaan dan disebabkan itulah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa untuk mencari dan melamar bakat tonggak warisan baharu.
Antara nama pemain warisan atau 'heritage' yang ditunggu-tunggu untuk menyarung jersi kebangsaan adalah pemain kelahiran Belanda, Ferdy Druijf yang dikesan sebagai salah satu calon terbaik untuk mengisi kekosongan peledak Harimau Malaya.
BACA LAGI: Hero Sabah-TFC termasuk bekas buangan JDT masih 'available'
Tangkap layar perbualan Druijf bersama frfuturetalents.
BACA LAGI: MFL jalan terus, kekal pendirian hanya 13 kelab sertai Liga Super
Dilahirkan di Uitgeest, Belanda, pemain berusia 26 tahun itu memulakan karier awalnya bersama Az Alkmaar Youth iaitu salah sebuah akademi bola sepak terbaik di negara tersebut sebelum berjaya menembusi skuad utamanya pada 2019.
Memiliki ketinggian 1.90 meter, penyerang yang selesa menggunakan kaki kanan itu boleh beraksi di beberapa posisi berbeza sebagai pemain tengah menyerang dan juga penyerang utama hadapan.
Selepas beberapa bulan dicanang mempunyai pertalian darah menerusi ibunya yang dipercayai berasal dari Malaysia, Druijf tampil mengakui hasratnya untuk beraksi dengan Harimau Malaya.
"Saya memang berminat untuk bermain bersama Malaysia. Tetapi sekarang saya tengah sediakan dokumentasi untuk membuktikan bahawa nenek saya dilahirkan di Malaysia," memetik tangkap layar perbualan Druijf bersama laman Instagram, frfuturetalents.
Dalam pada itu, Druijf dikatakan mampu menggalas tugas di bahagian serangan skuad kebangsaan selepas mencatatkan pencapaian cemerlang sepanjang kariernya apabila berjaya menjaringkan sebanyak 112 gol dalam 265 penampilannya.
Untuk rekod, pemain tinggi lampai itu kini beraksi bersama PEC Zwolle dalam saingan divisyen tertinggi Belanda, Eredivisie dan sudah meledak lima gol dan dua hantaran bantuan dalam 15 perlawanan dia diturunkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram