PENGENDALI skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dengan jelas mengatakan dia tidak mahu kehilangan Faisal Halim sebagai ayam tambatannya dalam Harimau Malaya.
Faisal, selain rakan pemain sayapnya iaitu Arif Aiman sememangnya merupakan pemain utama Pan-gon dalam skuad kebangsaan.
Hasilnya, kedua-dua pemain ini berjaya mencipta kombinasi serangan yang ampuh dan sering menjadi igauan lawan apabila berdepan Malaysia.
BACA LAGI: 'Rela kerja kampung gaji RM50, janji keluarga selamat', Faisal Halim sebak di sidang media
BACA LAGI: Saya tak dapat sayang, peluk anak — Faisal Halim
Kini, skuad kebangsaan ibarat patah sebelah sayap akibat nasib menimpa Faisal yang disimbah asid pada Mei. Namun begitu, Pan-gon tidak patah semangat terhadap pemain Selangor FC itu.
Harapan Pan-gon terhadap Faisal untuk kembali beraksi amat tinggi. Menurut Faisal, Pan-gon benar-benar mahu dia kembali semula kembali ke padang.
"Kim Pan-gon ada datang bertemu saya dan dia berkata agar saya tidak berhenti bermain bola.
"Dia berharap yang dia tidak akan kehilangan Faisal Halim," kata Faisal.
Faisal berkata demikian selepas membuat kemunculan kali pertama di depan media sejak insiden tersebut.
Penjaring gol tercantik di Piala Asia 2023 itu turut mengatakan, jurulatih daripada Korea Selatan itu tidak mahu dia patah semangat untuk kembali beraksi.
Walaupun perjalanan masih panjang untuk Faisal kembali bermain, tetapi Pan-gon yakin dengan semangat pemain tersebut untuk bangkit.
"Dia nak saya kembali. Dia tak nak saya jatuh dan down.
"Dia tak nak saya berhenti main bola," ujar Faisal.
Setakat ini, Selangor masih belum dapat memberikan gambaran masa yang jelas mengenai bilakah Faisal dapat kembali semula beraksi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram