[VIDEO] Disebut berdarah Perlis, Malaysia mahu dapatkan bekas pemain Tottenham?


  • Podium
  • Khamis, 13 Jun 2024

Elliot Thorpe merupakan produk keluaran Tottenham Hotspur. — Agensi

SEJAK skuad Harimau Malaya ditunjangi oleh beberapa pemain warisan seperti Dion Cools, La'Vere Corbin-Ong dan Nooa Laine, keinginan untuk melihat lebih ramai bintang bertaraf sedemikian dalam skuad kebangsaan semakin meningkat.

Sebelum ini, pelbagai nama dipetik berpotensi untuk mewakili Malaysia antaranya penyerang berdarah campuran Belanda, Ferdy Druijf. Namun begitu, hingga kini masih tiada perkembangan mengenai potensi menjadikannya sebahagian daripada bintang Harimau Malaya.

Kini, muncul satu lagi nama yang mungkin boleh membantu jentera tengah negara menjadi lebih ampuh.

BACA LAGI: Bintang warisan Belanda tak cukup bantu Arif Aiman, Faisal Halim di Harimau Malaya

BACA LAGI: 'Saya nak main untuk Malaysia', peledak campuran Belanda dalam proses urus dokumentasi

Pemain tersebut merupakan Elliot Thorpe yang berasal daripada England. Berusia 23 tahun, Thorpe merupakan hasil keluaran kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Tottenham Hotspur.

Laman FR Future Talents mengatakan Thorpe dilahirkan Hinchingbrooke, sebuah kawasan terletak di Cambridge, England pada 9 November 2000.

Lahir di England, jadi apakah kaitan Thorpe dengan Malaysia hinggakan dia layak mewakili Harimau Malaya?

Kaitan tersebut terhasil menerusi nenek sebelah ibu Thorpe yang merupakan warga Perlis dan berasal daripada Arau.

Neneknya itu dipercayai berkahwin dengan warga Wales yang merupakan sebahagian daripada United Kingdom sebelum melahirkan Thorpe hasil perkahwinan dengan rakyat England.

Jadi secara asasnya, Thorpe boleh mewakili tiga negara iaitu England, Wales dan Malaysia.

Setakat ini, Thorpe sudah berada dalam skuad kebangsaan Wales dengan dia mewakili negara itu di tiga peringkat umur iaitu bawah 17 tahun, bawah 19 tahun dan bawah 21 tahun.

Pemain tengah itu bakal menjadi pemain bebas (free agent) selepas kontraknya bersama kelab semasa iaitu Luton Town tamat pada akhir Jun ini.

Dengan bebas ke mana-mana, mungkin Thorpe boleh cuba untuk beraksi di Asia sebagai hint mahu berjinak-jinak dengan Harimau Malaya. Pergerakan seterusnya bagi pemain ini ternyata menarik untuk disaksikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram