Piala FA: Bergson 'hilang' dari radar, KDN FC buat penyokong Kelantan lega


  • Podium
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Kesebelasan utama KDN FC ketika menentang JDT dalam Piala FA pada Sabtu. — Facebook/JDT

KELANTAN Darul Naim FC (KDN FC) mengejutkan seluruh peminat bola sepak selepas berjaya menghalang Johor Darul Ta'zim (JDT) daripada menjaringkan lebih daripada dua gol pada separuh masa pertama dalam perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio menurunkan enam pemain import dalam kesebelasan utama dengan Murilo Henrique Santos turun buat pertama kali bersama skuad Harimau Selatan.

JDT menggunakan kelebihan pengalaman enam import dengan menguasai perlawanan pada babak pertama permainan yang dilihat sukar untuk anak-anak buah Park Jae-hong memiliki bola.

BACA LAGI: Sabah, Kedah mula 'bergoyang', tiada pemilik seperti TMJ antara 4 punca kelab Liga M terpalit masalah silam

BACA LAGI: Striker Badak Lampung antara 2 bintang naturalisasi pernah beri sensasi berbeza buat kelab Liga M

Namun begitu, KDN yang lebih memilih untuk menggunakan taktikal bertahan dan melakukan serangan secara gerak balas berjaya menyekat juara bertahan itu pada separuh masa pertama.

Dalam 10 minit terakhir, anak-anak buah Park Jae-hong beberapa kali berjaya memberikan ancaman ke kubu pertahanan JDT yang diketuai oleh bekas pemain Aston Villa, Shane Lowry.

Bekas penjaring terbanyak Liga Super 2022, Bergson da Silva turut hilang daripada radar selepas sukar melakukan ancaman berbahaya kepada gawang gol KDN FC yang dijaga rapi Muhaimin Mohamad.

Kapten KDN FC, Oday Ali Kharoub turut menjadi nadi penting Kijang Emas dalam mematahkan beberapa serangan penting JDT.

Persembahan yang ditunjukkan KDN FC ini boleh memberikan kelegaan buat warga Kelantan yang sudah kehilangan TRW Kelantan FC dalam arena bola sepak Malaysia.

Sebelum wisel separuh masa ditiupkan, Fernando Forestieri berjaya memberikan kelegaan buat penyokong JDT selepas menanduk bola masuk hasil hantaran Murilo dari sebelah kiri.

Dalam pada itu, senarai nama skuad JDT, Ahmad Syihan Hazmi dan Arif Aiman Hanapi tampak sudah pulih daripada kecederaan yang dialami mereka sehinggakan terlepas dengan panggilan Harimau Malaya pada awal bulan ini.

Kedudukan semasa perlawanan JDT 1-0 KDN FC hasil jaringan daripada Forestieri.

Bersambung babak kedua, JDT melakukan pertukaran pertama selepas memasukkan Muhamad Feroz Baharudin untuk menggantikan Shane Lowry.

Selang beberapa minit bintang negara, Arif Aiman Hanapi dimasukkan bagi menggantikan Oscar Arribas yang mengalami kecederaan.

Ternyata kemasukan Arif Aiman memberikan impak positif selepas hantarannya membolehkan JDT mendapatkan sepakan penalti.

Namun kecemerlangan penjaga gol KDN FC menafikan sepakan Juan Muniz sebelum pemain gantian, Romel Morales menolak masuk ke dalam gawang gol lawan untuk meletakkan JDT dua gol di hadapan pada minit ke-61.

Pada minit ke-81, Franciso Geraldes berjaya menjaringkan gol ketiga buat JDT selepas menewaskan beberapa pertahanan KDN FC.

Ternyata tuah kemasukan Arif Aiman berjaya memecahkan kebuntuan barisan serangan JDT yang mahu mencari jaringan gol.

Pada minit ke-93 permainan, Arif Aiman berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh pertahanan lawan.

Keputusan kekal 4-0 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh Mohamad Kamil sekali gus JDT mara ke pusingan suku akhir untuk menentang Malaysia Universiti yang melakukan kejutan ke atas PDRM FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram