Mayat pelajar lelaki ditemui terapung dekat Jambatan Cinta tasik Unimas


  • 112
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Seorang penuntut di Unimas ditemukan mati lemas di Tasik Unimas pada Sabtu.

SEORANG pelajar lelaki ditemukan lemas di tasik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan, Sarawak pada Sabtu.

Mayat Zoolfazairy Zaharen, 20, ditemui terapung berdekatan Jambatan Cinta yang merentangi tasik berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 8.32 pagi.

BACA LAGI: Bukit Aman siasat fakta kes pembunuhan Zayn Rayyan bocor di media sosial

BACA LAGI: Bukan lantik guru bahasa Inggeris tapi sukarelawan dibayar pemerintah Singapura — Anwar Ibrahim

Katanya, tujuh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya di lokasi didapati benar ada seorang mangsa terapung berada dalam tasik itu.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di tempat kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Jelasnya mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram