Bukit Aman siasat fakta kes pembunuhan Zayn Rayyan bocor di media sosial


  • 112
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Mohd Shuhaily berkata, polis mengetahui apa yang disiarkan di saluran Telegram (Edisi Siasat) berhubung kes Zayn Rayyan.

BUKIT Aman akan menjalankan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial, pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis mengetahui apa yang disiarkan di saluran Telegram (Edisi Siasat) berhubung kes Zayn Rayyan.

BACA LAGI: Adik Zayn Rayyan kini dalam jagaan JKM Selangor

BACA LAGI: Misteri kematian Zayn Rayyan hanya akan terungkai ketika perbicaraan di mahkamah nanti — Shuhaily

"Ini adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesiapa sahaja yang kita kesan (pelaku) kemudian kerana dia boleh mengganggu perjalanan perbicaraan.

"Saya ingin katakan sekali lagi segala perkara yang membabitkan siasatan ini harus datang dari pihak yang rasmi.

"Ia memang boleh mengganggu perjalanan perbicaraan yang akhirnya kita tidak akan mendapat keadilan kepada arwah Zayn Rayyan itu sendiri," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman pada Jumaat.

Tambah Mohd Shuhaily, polis akan mengenal pasti dan mengesan mereka yang menyebarkan fakta kes itu.

"Kita akan menyiasat sehingga ke akar umbi untuk kenal pasti pihak yang menyebarkan maklumat berkenaan.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pihak itu kerana segala penat jerih rakan-rakan (pasukan siasatan) yang lain dalam menyiasat (kes Zayn Rayyan) boleh tergugat dengan perkara yang berlaku ini," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan berhubung dengan pihak MCMC untuk mendapatkan bantuan menurunkan kandungan berkenaan yang dikesan dimuat naik di media sosial.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menegaskan bahawa siasatan membabitkan kes Zayn Rayyan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah selesai namun tidak menolak meneruskan siasatan mengikut seksyen itu sekiranya ada keperluan untuk perbicaraan.

"Seperti saya katakan semalam, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah tamat dengan pendakwaan semalam mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Namun perkembangan dalam perbicaraan tersebut sekiranya ada pendedahan-pendedahan (bukti) yang membawa kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) boleh mengarahkan kami dan kami sendiri akan menyiasat semula (mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan)," katanya.

2747781

Tangkap layar memaparkan Mateen menanti kepulangan ibu bapanya selepas kedua-duanya ditahan dan direman selama tujuh hari bermula 1 Jun.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa kanak-kanak itu, bahawa siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih diteruskan sehingga pelaku sebenar ditemui.

Mengulas mengenai adik kepada Zayn Rayyan, Mateen yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Shuhaily berpendapat tindakan JKM itu adalah berasaskan tanggungjawab moral dan undang-undang (morale and legal responsibility) pihak jabatan itu untuk berbuat demikian.

"Ia mungkin susulan JKM melihat adalah perlu bagi pihaknya mengambil anak kedua pasangan berkenaan susulan mereka telah dituduh mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Pada 31 Mei lalu, ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di Puncak Alam kira-kira pukul 11 pagi dan ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Untuk rekod 5 Disember tahun lepas, Zayn Rayyan dilaporkan hilang di Damansara Damai dan mayatnya ditemui berhampiran sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Pangsapuri Idaman pada hari berikutnya.

Bedah siasat mendedahkan kecederaan di leher dan badannya, membawa kepada kesimpulan bahawa dia telah dibunuh. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram