PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia hanya selangkah untuk merekodkan gelaran keduanya musim ini selepas mengesahkan kemaraan ke final Terbuka Australia, pada Sabtu.
Pemain nombor lapan dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan pemain meningkat naik dari Taiwan, Lee Chia Hao 10-21, 21-15, 21-10 pada aksi separuh akhir di Sydney Olympic Park.
Ia merupakan kemenangan ketiganya dalam enam pertemuan.
BACA LAGI: Kami tunggu awak, Faisal Halim — Lee Chong Wei
BACA LAGI: Lee Zii Jia buat keputusan tepat, jadi bintang tunggal negara sertai Terbuka Australia
Zii Jia akan bertemu Kodai Naraoka dari Jepun atau Lin Chun-yi dari Taiwan dalam perlawanan akhir pada Ahad.
Sementara itu, beregu lelaki meningkat naik negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian terpaksa akur tersingkir di separuh akhir selepas tunduk di tangan pilihan pertama dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 18-21, 9-21.
Nasib sama turut menimpa beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tewas di tangan pilihan pertama dari China, Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin 11-21, 11-21 sekali gus menamatkan perjuangan mereka di Australia.
Namun kejayaan Zii Jia bagaikan memberi inspirasi kepada gandingan wanita Pei Jing yang bergandingan dengan Lim Chiew Sien apabila mengejutkan pilihan ke-3 dari Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam.
Chiew Sien-Pei Jing memastikan pertemuan menentang satu lagi lawan sukar pada perlawanan akhir esok, pilihan kedua Febriana Dwipuji Kusuma -Amallia Cahaya Pratiwi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram