Saifuddin saran keluarga Zayn Rayyan buat laporan polis jika rasa terancam


  • Primer
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Saifuddin turut meminta orang ramai mengelak daripada mengeluarkan sebarang komen di media sosial yang bersifat mengganggu siasatan atau memberikan pandangan berdasarkan persepsi.

KELUARGA kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin disaran membuat laporan polis sekiranya berasa terancam susulan penyebaran dikatakan laporan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, menjadi tanggungjawab polis untuk menjaga keselamatan rakyat selain memastikan siasatan kes tersebut berjalan lancar.

BACA LAGI: Kes Zayn Rayyan: MCMC kenal pasti laman media sosial sebar maklumat bocor

BACA LAGI: Mayat pelajar lelaki ditemui terapung dekat Jambatan Cinta tasik Unimas

"Kes ini dianggap kes yang berprofil tinggi. Insiden ini dah hampir enam bulan dan hakikat bahawa perkembangan terkini yang berlaku yang mungkin sesetengah pihak anggap memeranjatkan, tetapi pihak polis secara profesional mengumpul maklumat dengan penuh berhati-hati.

"Pertama adalah seluruh siasatan polis berpandukan kepada peraturan dan disiplin. Polis tak boleh bertindak di atas persepsi, polis tak boleh bertindak di atas orang kata maklumat-maklumat yang samar, tak boleh.

"Jadi apabila polis buat satu siasatan terutama membabitkan kes pembunuhan macam ini, kertas siasatan polis bermaksud mewujudkan beberapa perkara yang menjadi rukun. Yang pertama, mayat. Yang kedua, motif. Yang ketiga, senjata. Jadi, siasatan polis dipandukan kepada prosedur yang begini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Kulim Bandar Baharu, Kedah pada Sabtu.

Beliau diminta mengulas kenyataan peguam mewakili ibu bapa kanak-kanak itu yang dilaporkan tidak menolak kemungkinan meminta perlindungan tambahan daripada polis terhadap anak guam mereka yang kini dibebaskan dengan jaminan.

Saifuddin juga meminta orang ramai mengelak daripada mengeluarkan sebarang komen di media sosial yang bersifat mengganggu siasatan atau memberikan pandangan berdasarkan persepsi.

Beliau berkata, pihak polis perlu diberikan ruang dan peluang untuk menyiasat kes itu yang dilakukan secara profesional dan objektif bagi melengkapkan kertas siasatan.

Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar yang didakwa sebagai laporan siasatan membabitkan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Zayn Rayyan ditemui maut di sungai berhampiran pangsapurinya di Damansara Damai, Selangor, pada Disember tahun lalu.

Pada 13 Jun lalu, ibu bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kedua-duanya 29, dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikannya dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram