Korbankan masa, tenaga jadi rahsia guru sekolah konsisten gilap bakat Daryl Sham, Ramadhan


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Daryl Sham (kiri) dan Ramadhan merupakan antara alumni terbaik DTC-JDT Uda Utama. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

INISIATIF pusat latihan daerah (DTC) yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JDT) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh dikatakan satu langkah baik dalam mencungkil bakat muda.

Program yang dibangunkan untuk memberi peluang buat sekolah terpilih di setiap daerah dalam negeri itu melatih pemain muda di bangku persekolahan bertepatan dengan misi kelab dalam pembangunan bola sepak jangka masa panjang.

Tetapi, usaha itu bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan pelbagai kekangan harus ditempuhi pihak guru dan jurulatih dalam membantu 'ubi muda' di negeri Selatan tanah air berkenaan.

BACA LAGI: Usaha cungkil bakat sejak bangku sekolah, inisiatif JDT-JPNJ wajar jadi contoh

BACA LAGI: Kelab kerdil Papua tukar mod JDT, bermimpi besar malukan skuad Bojan Hodak

441921145_1071123344630620_3523397143209456399_n

Fahmi (tiga dari kanan) merupakan salah seorang watak utama di sebalik sekolah itu. Facebook/Dtc-Jdt UDA UTAMA

Perkara berkenaan diakui salah seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Uda Utama, Johor, Mohd Fahmi Mat Saad yang sudah terlibat dengannya lebih dari 10 tahun.

Berdasarkan pengalamannya, usaha merupakan kunci awal dalam membangunkan sebuah sekolah dengan reputasi demikian kerana ia adalah satu perjalanan cukup sukar.

"Yang pertamanya, ia perlu datang dari tenaga kerja, termasuk jiwa dan tenaga seorang guru itu sendiri. Perkara itu juga perlu dibuat secara konsisten, bukan ketika adanya pertandingan sahaja.

"Yang keduanya, ilmu bola sepak itu sendiri kerana sesiapa sahaja yang mahu melakukannya perlu melakukan langkah wajar dengan mengambil lesen atau sebagainya.

"Selain itu, dari segi masa, seorang guru perlu terbuka untuk mengorbankan masa bersama pemain dan jurulatih berbanding masa di rumah sendiri," katanya kepada Majoriti.

356878710_840350071041283_2995658920697322101_n

DTC-JDT Uda Utama menekankan pelbagai aspek untuk memastikan graduan sekolah mempunyai masa depan tersendiri. — Facebook/Dtc-Jdt UDA UTAMA

Jelasnya, sekolah yang kini di bawah program DTC-JDT itu sudah mempunyai kira-kira 500 alumni dengan hampir kesemua daripada mereka kini berada di landasan terbaik.

Ini termasuk dua pemain skuad Harimau Selatan, Daryl Sham KK George dan Ramadhan Saifullah yang sememangnya memiliki reputasi cemerlang bersama pasukan simpanan.

Malah, menurut Fahmi, pemain yang tidak meneruskan karier dalam dunia bola sepak masih memiliki karier baik dalam kehidupan masing-masing kerana sekolah terbabit mementingkan aspek pembelajaran.

351122071_825750062501284_2596166594581765290_n

DTC Bandar Uda Utama meraih beberapa pencapaian sepanjang penubuhan mereka. Facebook/Dtc-Jdt UDA UTAMA

"Kami di DTC-JDT Uda Utama, kami ada dua objektif. Pertama, pencapaian akademi dan kedua, pencapaian dunia bola sepak, kita pegang dua prinsip ini.

"Alhamdulillah kerana kita mungkin sinonim dengan pemikiran pelajar bersukan, pembelajaran akan teruk. Tetapi, di sini, setakat 500 alumni, tiada yang gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Usaha ditekankan Fahmi sepanjang bersama sekolah berkenaan menerima bantuan daripada enam jurulatih lain, termasuk dua bekas pemain iaitu Bahtiar Osman dan Mohd Rizal Jais.

Bantuan daripada seorang lagi guru di sekolah berkenaan, Aideal Faridzul turut memberikan peluang buat DTC-JDT Uda Utama terus dikenali dalam mengasah bakat anak-anak muda, terutamanya di Johor.

Selain itu, bantuan daripada pelbagai pihak lain, terutamanya JDT dan JPNJ cukup penting dalam memastikan sekolah itu dapat melahirkan lebih banyak pemain muda pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram