‘Pattern itu kita nampak, motif kita tidak ada’, polis respons isu 3 bintang bola sepak termasuk serangan asid Faisal Halim


  • 112
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Faisal tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika bercakap dalam sidang media pada Khamis.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) belum dapat mengenal pasti motif serangan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara, Petaling Jaya 5 Mei lalu dan dua lagi pemain bola sepak negara.

Memetik laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan bagi mengesan pelaku dalam kes itu masih giat dijalankan dan tidak akan berhenti sehingga pelakunya ditangkap.

Beliau berkata, PDRM kini meluaskan skop siasatan termasuk mengambil beberapa keterangan di pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri membabitkan dua fasa dan kini ia memasuki fasa kedua.

BACA LAGI: Ramai doa pelaku simbah asid Faisal Halim terima azab teruk, dilaknat ALLAH

BACA LAGI: 'Faisal Halim bukan manusia biasa tapi seperti singa'

Muka Faisal

Proses pemulihan bahagian muka Faisal Halim. — Facebook/Selangorfc

"Namun buat masa ini, kita belum dapat 'establised' (memastikan) motif (serangan) ke atas ketiga-tiga serangan (ke atas Faisal, Akhyar Rashid dan Safiq Rahim).

"Apa yang kita nampak hanyalah 'pattern' (corak) serangan yang berlaku selang dua hari. Pattern itu kita nampak, motif kita tidak ada," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman pada Jumaat.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Risikan / Operasi) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak.

Dalam kes serangan asid ke atas Faisal, Mohd Shuhaily berkata, kes cap jari yang diperoleh di lokasi juga tidak membuahkan hasil siasatan, manakala fotofit suspek yang disiarkan juga tidak banyak dapat membantu siasatan polis untuk mengesan pelakunya.

Kulit Faisal

Kesan lecuran pada tangan Faisal Halim. — Facebook

Sehubungan itu, katanya pihak polis sedang bekerja keras dalam tugas risikan kerana siasatan kes itu agak rumit dan pihak PDRM memerlukan lebih masa untuk menyelesaikan siasatan.

"Apabila tiada saksi awam atau saksi bebas yang dapat membantu (siasatan) kami. Itu yang menjadi cabaran, tetapi kita tidak akan berhenti.

"Pihak JSJ akan meneruskan (siasatan) dan apa sahaja keputusan yang kita peroleh daripada siasatan ketiga-tiga kes, kita akan teruskan siasatan daripada situ," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Faisal yang memberitahu kali terakhir dihubungi pihak polis pada minggu pertama kejadian, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya akan menghubungi Polis Kontinjen Selangor untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara berkenaan.

"Daripada segi perkembangan siasatan sebenarnya tidak banyak yang kita boleh maklumkan perkembangannya kepada mangsa (Faisal) namun kita akan jumpa dengan Faisal sendiri nanti," katanya.

Pada Khamis, Faisal membuat penampilan kali pertama di hadapan khalayak umum dalam satu sidang media di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam, Selangor kerana enggan berselindung dan ingin menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa.

Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.

Dia diserang ketika berada di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Terdahulu, pada 2 Mei lalu, pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar cedera selepas menjadi mangsa samun di Terengganu.

Pada 7 Mei lalu pula, cermin kereta Safiq yang juga bekas ketua pasukan kebangsaan, dipecahkan individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT), di Johor Bahru.

Mohd Shuhaily dalam satu sidang media di Bukit Aman pada 8 Mei lalu, memaklumkan serangan yang dilakukan terhadap tiga pemain bola sepak tanah air itu dipercayai menggunakan modus operandi yang sama.

Katanya, setiap kes serangan membabitkan dua orang atau berpasangan dan mengekori mangsa sebelum melakukan serangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram