KEMENANGAN penuh bergaya dilakar pasukan Malaysian University FT (MUFA) ke atas PDRM FC pada Rabu adalah suatu isyarat yang ingin ditampilkan pemain yang berstatus penuntut universiti.
Bagi pemain tengah pasukan Malaysian University iaitu Muhammad Hadi Mohamad, kemenangan yang berjaya di lakar ke atas pasukan ‘giant killer’ Liga Super itu adalah bukti penuntut universiti juga boleh mempamerkan aksi baik.
Tambah Muhammad Hadi, kemenangan besar 3-0 tersebut juga adalah sebagai sebuah isyarat untuk lebih banyak pasukan di Liga Super mula melihat kualiti pemain-pemain muda seperti itu.
BACA LAGI: Piala FA: Laluan sukar menanti Terengganu, Kedah dapat jalan mudah
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ayah orang Tawau', Joshua Laws calon terkini pemain warisan
“Kami ingin membuka mata pasukan Liga Super lihatlah bakat yang ada pada pemain di universiti ini,” katanya memetik laporan dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Walaupun pasukan PDRM FC tidak menurunkan pemain utama, namun Muhammad Hadi juga menganggap ia sebagai suatu kejayaan yang boleh dibanggakan memandangkan PDRM FC adalah pasukan gergasi Liga Super juga.
Skuad The University Tigers menanti pemenang antara perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam aksi timbal balik di peringkat saingan suku akhir nanti.
Bagi Muhammad Zharif Nazhan yang merupakan penjaring ketiga bagi pasukan Malaysian University pula menambah, kejayaan pasukannya untuk layak ke saingan suku akhir Piala FA ini adalah sebuah kejayaan bermakna bagi dirinya.
Baginya, jika pasukannya dapat bertemu dengan pasukan gergasi dari selatan iaitu JDT, itu akan menjadi kenangan manis yang akan dikenang selama-lamanya bagi dirinya dan rakan-rakan yang lain.
“Kalau mempunyai kesempatan untuk bertemu JDT, kita tahu mereka (JDT) adalah pasukan besar dalam bolasepak tanah air, kita akan timba lebih banyak pengalaman jika dapat bertemu mereka” ujar Zharif.
Skuad kendalian Ridzuan Abu Shah bermula garang apabila merobek gawang lawan menerusi sentuhan penyerang, Mohd Shahir Abdul Rahman seawal minit kelima perlawanan dan Muhammad Hadi Mohamad meledak jaringan kedua empat minit kemudian.
Kem Sang Saka Biru seakan-akan hilang pedoman apabila pemain gantian skuad The University Tigers, Muhammad Zharif mencetak jaringan ketiga pada masa kecederaan dan keputusan kekal 3-0 hingga ke wisel penamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram