KEKECEWAAN jelas terpancar buat pemain, pengurusan serta penyokong Harimau Malaya apabila gagal untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Walaupun berjaya menewaskan Taiwan 3-1 pada aksi terakhir kumpulan D, ia tidak cukup untuk membawa Malaysia menjadi 18 negara Asia terbaik selepas Republik Kyrgyz dan Oman seri 1-1 dalam pertemuan mereka.
Hasil keputusan itu, Malaysia menduduki tempat ketiga dengan 10 mata, kurang satu mata berbanding Republik Kyrgyz yang meraih 11 mata.
Di sebalik kecewa, Kim Pan-gon tetap melihat sesuatu yang positif ditonjolkan oleh anak-anak buahnya. Jelas sekali, Harimau Malaya mempunyai semangat juang tinggi setiap kali beraksi.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Biar dia selesaikan misi', ekor Harimau Malaya mahu FAM kekalkan Kim Pan-gon
BACA LAGI: Tiga mata belum cukup, nasib Harimau Malaya kini di tangan aksi Oman-Kyrgyzstan
Pengendali dari Korea Selatan itu melihat para pemainnya mempunyai semangat dan kekuatan yang tinggi untuk bangkit semula dan itu ditonjolkan selepas ketinggalan satu gol semasa berdepan Taiwan.
"Kami mempunyai peluang yang cerah dalam pusingan kelayakan. Terdapat kesilapan semasa separuh masa pertama dan kami memberikan jaringan (kepada pihak lawan).
"Tapi kami berjaya mengubahnya ketika separuh masa kedua. Ia menunjukkan dalam DNA pasukan yang mereka akan sentiasa bangkit apabila ditolak jatuh," kata Pan-gon.
Lazimnya, dalam saingan kumpulan melibatkan empat pasukan, negara yang mengutip 10 mata tiada masalah untuk mara ke pusingan seterusnya.
Namun, lain ceritanya buat Malaysia yang tetap dipintas oleh Republik Kyrygyz dengan perbezaan satu mata.
Bagi Paulo Josue, tiada perkara lain lagi yang boleh dilakukan oleh para pemain selain daripada terus bekerja keras hingga kejayaan datang kepada Malaysia.
"Dalam kumpulan lain, 10 mata sudah cukup untuk buatkan satu-satu pasukan layak, tapi itu adalah satu perkara di luar kawalan kita.
"Apa yang kita boleh lakukan adalah berbangga dengan apa yang telah dilakukan dan terus bekerja keras untuk cabaran seterusnya," kata Josue.
Dengan impian ke Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico sudah musnah, Malaysia boleh fokus untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2027.
Malaysia akan beraksi di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 dengan mereka mesti menjadi juara kumpulan untuk mengesahkan tempat di Arab Saudi. — The Star/S. SAKTESH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram