Mungkin saya perlu berubah jadi sombong — Faisal Halim


  • Podium
  • Khamis, 13 Jun 2024

Faisal (dua kiri) muncul di sidang media khas di Shah Alam pada Khamis.

FAISAL Halim tidak menolak kemungkinan untuk menukar karakter 'happy go lucky' kepada seorang yang sombong susulan insiden serangan asid yang menimpa dirinya pada 5 Mei lalu.

Dia berkata demikian ketika membuat kemunculan kali pertama di depan media dalam satu sidang khas diadakan di Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dekat Shah Alam pada Khamis.

Pemain sayap Harimau Malaya berkata demikian kerana berkemungkinan terkesan daripada insiden yang menimpa serta mendorongnya mengubah personaliti.

BACA LAGI: 'Rela kerja kampung gaji RM50, janji keluarga selamat', Faisal Halim sebak di sidang media

BACA LAGI: Saya tak dapat sayang, peluk anak — Faisal Halim

Sebelum ini, Faisal amat disenangi ramai terutamanya para penyokong kerana sikapnya yang ramah serta mudah didekati.

Akan tetapi, dia mungkin perlu mengubahnya kerana ingin memastikan keselamatannya keluarganya berada dalam keadaan terbaik.

"Semua orang tahu karakter Faisal Halim bagaimana, saya tidak pernah sombong walaupun kepada orang di bawah atau lebih atas daripada saya.

"Saya selalu senyum dan ceriakan pasukan. Saya gembirakan pasukan saya. Selepas ini jika saya perlu berubah jadi sombong, saya perlu buat kalau itu yang perlu dilakukan.

"Saya tak tahu selepas ini saya perlu kekal atau ubah karakter saya," kata Faisal.

Dalam pada itu, Faisal turut menyatakan dia amat tidak sabar untuk kembali beraksi.

Katanya, tempoh berehat yang diberikan doktor kepadanya selama tiga hingga enam bulan adalah terlalu lama untuknya.

"Pada awal doktor beritahu saya perlu berehat sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan dan tidak pasti boleh kembali beraksi ataupun tidak.

"Sebagai pemain bola, sukar untuk saya terima, saya tak pernah berehat sepanjang karier lebih dari satu bulan. Semua panggilan bola sepak saya pergi sama ada kelab mahupun antarabangsa, saya tidak pernah mengambil cuti," ujar Faisal.

Walaupun doktor ada memberikan jangkaan masa untuk Faisal berehat, tetapi Selangor FC tiada memberikan tarikh konkrit bilakah dia akan kembali beraksi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram