'Ramai rakan mati depan mata', bekas coach Liga Super kongsi sukan tanpa persediaan sangat bahaya


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Iskandar (dua dari kanan) pernah menjadi jurulatih kecergasan Kelantan pada musim lepas.

KESIBUKAN orang zaman sekarang terutama warga kota menjadikan sukan malam sebagai satu trend yang diamalkan dengan ia dianggap sebagai salah satu aktiviti sihat untuk mengisi masa lapang mereka.

Antara sukan popular yang sering menjadi pilihan orang ramai untuk menjalankan aktiviti berpeluh mereka pada waktu malam ialah berlari, bermain badminton, futsal dan bola sepak.

Namun begitu, ada dakwaan yang mengatakan bersukan pada waktu malam sebenarnya berbahaya kerana malam adalah waktu untuk tubuh berehat setelah seharian melakukan pelbagai aktiviti seperti sibuk bekerja.

BACA LAGI: 'Rela kerja kampung gaji RM50, janji keluarga selamat', Faisal Halim sebak di sidang media

BACA LAGI: Mungkin saya perlu berubah jadi sombong — Faisal Halim

Bekas pemain ragbi kebangsaan yang kini bekerja sebagai pengajar kecergasan, Iskandar Salleh berkongsi bahawa sukan malam merupakan pembunuh senyap hanyalah mitos semata-mata namun pemilihan aktiviti perlu dititikberatkan.

Berdasarkan pengalamannya, Iskandar menceritakan bahawa sukan berintensiti tinggi seperti badminton, futsal dan berbasikal sangat berbahaya untuk dilakukan oleh individu yang jarang bersenam.

"Isu dia bukan bersukan waktu malam tapi pemilihan sukan itu yang bermasalah. Antara sukan sering dikaitkan dengan isu ini ialah badminton dan futsal kerana berintensiti tinggi.

"Macam bola boleh santai sikit sebab bila kita dah hantar bola, kita boleh relaks sikit. Tapi futsal laju dengan short pass. Badminton pun begitu. Ini yang kalau kita tak biasa, boleh membahayakan jantung kita.

"Jadi bagi saya tiada kena mengena dengan bila (waktu malam atau siang) tapi berkait dengan sukan itu. Apa sahaja sukan nak buat, kena latih dulu. Kena banyak berlatih untuk kuatkan badan dahulu," katanya kepada Majoriti ketika ditemui baru-baru ini.

WhatsApp Image 2024-06-13 at 22.06.13

Berbasikal antara sukan berintensiti tinggi.

Dek terlalu bersukan secara semberono, bekas jurulatih kecergasan Kelantan FC itu juga berkongsi bahawa beberapa rakannya sudah meninggal dunia ketika menjalankan aktiviti yang pada asalnya dibuat untuk kesihatan dan kecergasan.

Menurutnya, sebagai persediaan sebelum melakukan sukan berintensiti tinggi seperti badminton perlu melakukan senaman yang melakukan banyak pergerakan interval, sprinting dan lompatan.

"Kalau pengalaman saya sendiri, ramai kawan saya dah meninggal dunia bila bersukan malam ini. Kawan saya dua orang main futsal meninggal. Basikal ada juga. Ada seorang kawan saya dia selalu joging tapi joging dengan main futsal tak sama.

"Ada kawan saya yang meninggal tunggang basikal dari Setiawan ke Teluk Intan. Arwah meninggal di tepi jalan. Ada kisah kawan saya yang dah meninggal pada 2006. Masa itu arwah umur 33 tahun, Isnin hingga Sabtu tak buat apa-apa tapi Ahad nak main ragbi.

"Hari lain memang tak buat apa-apa. Suatu hari itu, kawan saya dah rasa pucat dan bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan akhirnya meninggal. Sukan tanpa persediaan sangat bahaya.

Oleh itu, Iskandar berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menjalani latihan agar tubuh badan dapat menghasilkan daya ketahanan dari segi kecergasan.

"Setiap pergerakan menghasilkan daya, daya ini yang kita tak tahu adakah tahan atau tidak. Sebab itu, kena masuk gim. Apa sahaja sukan nak buat, kena latih dulu. Kena latih kuatkan badan dahulu," jelasnya.

Untuk individu yang sibuk bekerja, Iskandar turut menasihatkan untuk melakukan sekurang-kurangnya senaman ringan seperti burpee sebanyak 15 kali di kawasan pejabat masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram