'Faisal Halim bukan manusia biasa tapi seperti singa'


  • Podium
  • Khamis, 13 Jun 2024

Penampilan umum pertama Faisal Halim selepas insiden yang menimpa dirinya pada 5 Mei lalu. — Facebook/Selangorfc

BINTANG Selangor FC, Faisal Halim mengakui dia mahu bermain bola sepak selepas hampir sebulan berehat berikutan insiden simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu terpaksa memendam hasrat terbabit kerana perlu memberi peluang dan ruang kepada proses rawatan dalam tempoh terdekat ini.

Faisal yang juga pemain sayap Harimau Malaya mengakui ketika ini terlalu rindukan bola sepak negara terutama melihat rakan sepasukan beraksi bersama pasukan kebangsaan dan Selangor FC.

BACA LAGI: Ramai doa pelaku simbah asid Faisal Halim terima azab teruk, dilaknat ALLAH

BACA LAGI: Kontrak Faisal Halim hingga 2027 terjamin — Selangor FC

WhatsApp Image 2024-06-13 at 21.50.25

Keadaan terkini kulit tangan belah kiri Faisal yang disimbah asid. Facebook

"Saya amat rindukan bola sepak dan mahu bermain dan berlatih. Saya harus fokus kepada pemulihan dan rehabilisasi," katanya ketika sidang media khas pada Khamis.

Dalam pada itu, pemerhati bola sepak tanah air, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim mengakui Faisal merupakan individu yang luar biasa.

"Kita semua sedar Faisal bukan pemain yang biasa tapi dia adalah pemain yang sangat luar biasa.

"Sudah tentu dia mempunyai semangat seperti singa, dia sendiri boleh mengatasi segala kemungkinan dengan will power yang kuat," katanya kepada Majoriti.

Bercakap mengenai hasrat Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey itu yang mahu beraksi di atas padang lebih awal, Zulakbal berkata, tonggak Harimau Malaya memiliki kekuatan berbeza.

"Bagaimanapun, apa yang doktor nasihatkan itu adalah untuk manusia biasa tapi Faisal berbeza.

"Sudah tentu dia mempunyai semangat yang tinggi dan keazaman yang luar biasa, jadi semua bergantung kepada Faisal sendiri.

"Kata-kata semangat saya untuk Faisal, sementara masih ada peluang, masih ada bimbingan daripada pakar perubatan dan sebagainya.

"Kita yakin Faisal boleh kembali dan boleh kembali beraksi seperti sebelum ini, kita doakan agar dia terus kuat semangat dan terus berazam memberi sumbangan kepada Selangor dan Harimau Malaya.

"Selamat maju jaya Faisal Halim," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram