Stand with FH7 boleh jadi 'benchmark', tak salah kerajaan negeri bantu kewangan Sabah FC


  • Podium
  • Selasa, 11 Jun 2024

Sabah dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji. — Sabah Football Club

MASALAH gaji yang menimpa kelab-kelab di Liga Malaysia (Liga M) seakan tidak menunjukkan tanda untuk berhenti.

Baru-baru ini, pemain Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat memberikan bayangan seolah-olah berlaku isu tunggakan gaji di kelab Borneo itu.

Perkara ini nyata letih untuk disaksikan. Bilakah ia akan berakhir? Adakah perlu untuk kelab kembali semula kepada kerajaan negeri untuk memastikan perkara sebegini tidak berlaku?

BACA LAGI: Jika benar ia berlaku, saya harap ia cepat diselesaikan — Ex Sabah

BACA LAGI: 'Sudah lama tak dibayar', bintang Sabah FC bersedih rumah tiada bekalan elektrik

Situasi tersebut menimbulkan persoalan, perlukah Sabah bertindak seperti Terengganu FC dan Penang FC yang menjadi anak syarikat kepada kerajaan negeri?

Menurut pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli, dia melihat tiada salahnya seandainya Sabah menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu kewangan kelab.

Walaupun Sabah kini merupakan entiti swasta, tetapi tidak salah bagi mereka mengadakan usaha sama dengan kerajaan negeri.

"Sabah FC memang sudah diswastakan tetapi tidak bermakna kerajaan negeri Sabah tidak boleh membantu atau berkongsi tanggungjawab memajukan pasukan bola sepak seperti pasukan Terengganu FC, Penang FC dan Selangor FC.

"Peduli apa orang nak kata, tiada salah pun termeterainya kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan kerana bola sepak ini milik bersama komuniti, rakyat dan kerajaan. Hubungan simbiotik ini juga pasti difahami oleh kebanyakan rakyat Sabah," kata Pekan kepada Majoriti.

Menurut Pekan, jika kerjasama itu dibuat, ia memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk peminat.

Pekan merujuk kepada bagaimana kerjasama antara Selangor, kerajaan negeri dan penyokong dalam menjayakan kempen Stand With Faisal Halim.

"Sokongan padu penyokong Sabah juga sangat-sangat diharapkan. Simpati di 'dalam hati' atau 'melalui angin' tiada berguna. Lancarkan kempen seperti Stand With Sabah dan beramai-ramai penuhi Stadium Likas setiap kali Sabah bermain.

"Hanya dengan cara ini dapat menunjukan sokongan padu dan rasa empati penyokong serta dapat mengurangkan beban gaji pemain.

"Contohi Selangor FC ketika ini dengan gelanggang mereka di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sentiasa dipenuhi penyokong atas kempen Stand With Faisal Halim," ujar Pekan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram