Pakar kewangan syariah perjelas penaja TFC terlalu banyak 'red flag', tidak dibenarkan dalam mudarabah


  • Podium
  • Selasa, 11 Jun 2024

Terengganu FC akhirnya membatalkan kerjasama dengan XFOX Market Holdings Sdn. Bhd. pada Selasa. — Terengganu FC

KEPUTUSAN Terengganu FC untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat XFOX Market Holdings Sdn. Bhd. menimbulkan pertikaian ramai terutamanya daripada penyokong kelab tersebut.

Hal ini kerana, ramai meragui syarikat tersebut lagi-lagi dengan XFOX berada dalam senarai amaran pengguna kewangan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kerjasama yang termeterai pada Ahad, XFOX bersetuju untuk menjadi penaja platinum Terengganu dengan nilai tajaan sebanyak RM1.5 juta.

BACA LAGI: Bubar perjanjian, TFC pulang semula RM1.5 juta XFOX, ‘kempunan’ padang sintetik

BACA LAGI: Dimiliki kerajaan negeri, TFC-Penang FC 'tidak bersalah' terima suntikan dana

Dengan penajaan tersebut, logo XFOX akan terpampang di jersi Terengganu sewaktu mereka mewakili Malaysia dalam kejohanan kelab serantau iaitu Piala Shopee.

Namun begitu, Terengganu pada Selasa akhirnya mengumumkan pembatalan perjanjian tersebut selepas berbincang dengan XFOX.

Kelab tersebut berkata keputusan itu dibuat untuk menjaga keharmonian antara mereka dan penyokong sambil wang tajaan juga sudah dipulangkan semula kepada XFOX.

Tindakan tersebut menerima pujian penyokong dan bagi pakar kewangan syariah, Dr Abdul Rahman A Shukor, XFOX mempunyai terlalu banyak red flag sebagai sebuah syarikat yang mendakwa mereka mengamalkan konsep patuh syariah.

Menurut Abdul Rahman, syarikat XFOX tidak mengamalkan konsep mudarabah (perkongsian untung) walaupun mereka mendakwa mengamalkannya.

"XFOX mendakwa menggunakan konsep mudarabah. Mereka memaparkan video kuliah Prof Dr Ustaz Abdus Somad tentang mudarabah.

"XFOX menyatakan capital guaranteed iaitu jaminan modal. Sebenarnya perkara ini tidak dibenarkan dalam mudarabah. Ini adalah perkara asas," kata Abdul Rahman di Facebook.

Selain itu, Abdul Rahman juga mengatakan XFOX menjamin pulangan hibah secara bulanan dengan nilai tidak munasabah seperti hibah bulanan sehingga 5 hingga 30%.

Angka-angka tersebut melebihi apa yang ditawarkan oleh syarikat besar seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Penawaran tersebut juga tidak seiring dengan konsep mudharabah yang dicanang oleh XFOX.

"XFOX tidak menetapkan kadar hibah bulanan tetapi menjamin keuntungan setiap bulan. Perkara ini juga tidak dibenarkan dalam mudharabah.

"Daripada aspek komersial, XFOX memberi hibah bulanan 5% hingga 30%. Angka ini adalah luar biasa. PNB pun tidak dapat memberi keuntungan sebesar itu.

"Istilah hibah adalah istilah yang biasa digunapakai oleh syarikat scam untuk mengaburi mata masyarakat seolah-olah pelaburan yang dilakukan adalah patuh syariah," ujar Abdul Rahman.

WhatsApp Image 2024-06-11 at 12.27.12

Dr Abdul Rahman A Shukor.

Abdul Rahman turut berkata, XFOX mengamalkan pengambilan deposit secara haram dari orang ramai. Tindakan tersebut adalah salah di sisi undang-undang Malaysia.

"XFOX membuka dana pelaburan dan menerima dana daripada orang ramai. Perkara ini dinamakan pengambilan deposit secara haram (illegal deposit taking) kerana XFOX tidak mempunyai lesen di bawah BNM atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

"Pengambilan deposit secara haram adalah satu kesalahan dari segi undang-undang di Malaysia," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram