KEMENANGAN selesa 3-1 dalam aksi penutup Kumpulan D berjaya dicatatkan Harimau Malaya berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Selepas ketinggalan dengan satu gol pada babak pertama, skuad kebangsaan bangkit mengikat kedudukan menerusi Safawi Rasid pada minit ke-53 permainan.
Pada minit ke-69 pula, pemain naturalisasi negara, Paulo Josue meletakkan negara di hadapan sebelum Adib Raop memastikan tiga mata penuh milik Harimau Malaya menerusi gol pada minit akhir perlawanan.
BACA LAGI: Jurulatih Taiwan cabar ‘ekor’ Harimau Malaya penuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil
BACA LAGI: Taiwan mungkin berdepan situasi sukar — Safee Sali
Kemenangan 3-1 direkodkan Harimau Malaya dalam aksi penutup Kumpulan D. — Facebook/FAM
Kemenangan terbabit bagaimanapun masih belum cukup untuk mengesahkan tempat Harimau Malaya dalam Pusingan Ketiga dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Ini kerana skuad kebangsaan sepatutnya menjaringkan lapan gol dalam aksi berkenaan untuk memintas negara di kedudukan kedua, Kyrgyzstan yang masih belum berdepan Oman dalam aksi penutup.
Berdasarkan kedudukan Kumpulan D ketika ini, Harimau Malaya berada di tangga ketiga dengan ia hanya akan membawa mereka ke pusingan kelayakan Piala Asia sementara peluang ke Piala Dunia sudah tertutup.
Jadi, untuk mengetahui peluang negara, aksi antara Oman dan Kyrgyzstan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Oman pada awal pagi Rabu perlu diakhiri terlebih dahulu.
Namun, sekiranya peluang itu tertutup, perasaan bangga masih perlu diberikan terhadap skuad kendalian Kim Pan-gon yang sudah memberikan 100 peratus sepanjang kempen kelayakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram