Bubar perjanjian, TFC pulang semula RM1.5 juta XFOX, ‘kempunan’ padang sintetik


  • Podium
  • Selasa, 11 Jun 2024

Perjanjian antara Terengganu FC dengan XFOX Marketing Sdn. Bhd. dibatalkan pihak kelab itu berkuat kuasa serta-merta pada Selasa. — Terengganu FC

KELAB Liga Super, Terengganu FC (TFC) mengambil keputusan untuk membatalkan kerjasama dengan syarikat XFOX Marketing Sdn. Bhd. selepas mengambil kira suara penyokong fanatik kelab berpangkalan di Pantai Timur itu.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Selasa, TFC menyatakan pihak kelab membatalkan kerjasama dengan syarikat tersebut selepas mengambil pandangan dari pelbagai sudut.

Kelab turut memulangkan wang tajaan sebanyak RM1.5 juta kepada syarikat tersebut yang sepatutnya diterima kelab hasil daripada kerjasama tersebut.

Berdasarkan perjanjian, XFOX turut menyediakan padang bola sepak sintetik di XFOX Arena di Subang Bestari yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan TFC sebagai sebuah kelab bola sepak moden.

BACA LAGI: Dimiliki kerajaan negeri, TFC-Penang FC 'tidak bersalah' terima suntikan dana

BACA LAGI: Terengganu tunaikan permintaan fans, Ivan Mamut boleh paksa Akinade keluar zon selesa

Namun begitu, kerjasama tersebut dipandang dari sudut berbeza terutamanya oleh para penyokong. Oleh kerana itu, mereka memilih untuk menerima pandangan dan mengambil keputusan membatalkan perjanjian tersebut.

Demi menjaga keharmonian kelab, Terengganu dan XFOX memilih untuk duduk semeja dan berbincang bagi menyelesaikan situasi tersebut.

"Walaubagaimanapun, kerjasama ini dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak. Malah Terengganu FC juga mendapat simpati daripada pihak penaja dengan suasana ini.

"Atas persefahaman bersama, pihak Terengganu FC dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd bersedia untuk membubarkan kembali perjanjian penajaan ini tanpa sebarang tuntutan antara kedua pihak. Tindakan ini lebih kepada melihat aspek keharmonian kelab untuk mengharungi pelbagai lagi cabaran mendatang.

"Pihak Terengganu FC akan memulangkan kembali bayaran penajaan pihak syarikat penaja sebanyak RM 1.5 juta yang telah selesai dilunaskan," kata Terengganu.

Terengganu meletakkan kepentingan penyokong di tahap tinggi dan berharap pembatalan perjanjian tersebut dapat membantu memulihkan hubungan antara dua entiti.

Mereka juga akan mencari penaja baharu bagi menggantikan XFOX yang sepatutnya menaja kelab itu dalam Piala Shopee. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram