Faisal Halim nampak lain, tidak seperti dulu


  • Podium
  • Khamis, 13 Jun 2024

Faisal muncul di sidang media khas di Shah Alam pada Khamis.

SELEPAS hampir sebulan tidak tampil di khalayak, pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim akhirnya membuat penampilan pertama dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC, di Shah Alam, Selangor.

Faisal yang berpakaian kemeja Selangor FC berwarna kelabu dan bertopi ditemani Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar hadir ke pusat itu kira-kira pukul 2.30 petang pada Khamis.

Kehadiran Faisal di sidang media itu adalah bagi memaklumkan perkembangan terkini dirinya selepas disimbah asid sulfurik pekat oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara pada awal Mei lalu.

BACA LAGI: 'Rela kerja kampung gaji RM50, janji keluarga selamat', Faisal Halim sebak di sidang media

BACA LAGI: Mungkin saya perlu berubah jadi sombong — Faisal Halim

Berdasarkan pengamatan Majoriti, penampilan pertama kali sejak episod hitam berkenaan menyaksikan Faisal mengalami sedikit perubahan dari segi fizikal dan karakter yang pastinya akibat dari serangan asid sulfurik pekat itu.

Antara perubahan yang ketara ialah wajah pemain berusia 26 tahun berkenaan sedikit berbeza dengan kelihatan masih banyak bekas luka di bahagian hidung, pipi kiri dan bahagian kepala Faisal.

Bukan itu sahaja, wajah pemain yang mesra dengan jolokan Mickey itu juga agak sedikit kurus atau lebih cengkung dan berkemungkinan ia pasti berpunca daripada diet makanan yang perlu diikutinya.

Jika dilihat dari segi karakter penyerang sayap kebangsaan itu, Faisal masih berada dalam ketakutan dan kurang tersenyum jika dibandingkan sebelum ini yang rata-ratanya mengenali pemain itu seseorang pemain dengan peribadi ceria.

Dari segi pertuturan pula, pemain kelahiran Mengkuang Titi, Seberang Perai, Pulau Pinang berkenaan tampak tidak sepetah dahulu dan dilihat lebih berhati-hati dalam mengatur percakapannya.

Terdahulu, tonggak Selangor FC di bahagian Selangor FC itu mengharungi empat pembedahan sepanjang berada di hospital swasta selepas menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei lalu.

Faisal yang juga pemain kebangsaan akan menjalani rawatan susulan selepas ini termasuk dari aspek psikologi dalam usaha untuknya kembali beraksi di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram