[VIDEO] 'Bukan sukan teras', pemerhati setuju ganjaran RM170,000 skuad Piala Dunia


  • Podium
  • Rabu, 12 Jun 2024

Malaysia menamatkan badi ke atas Thailand untuk muncul juara regu dan double selepas mencatatkan kemenangan 2-0 bagi kedua-dua acara di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024. — Facebook/PSM

PRESTASI cemerlang skuad negara dalam kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 menyaksikan Majlis Sukan Negara (MSN) tampil memberi penghargaan dengan menyalurkan imbuhan berbentuk wang tunai.

Skuad kendalian Ahmad Jais itu menerima insentif berjumlah RM170,000 susulan kejayaan membanggakan apabila berjaya mencipta sejarah tersendiri di Stadium Titiwangsa.

Pemberian insentif berjumlah RM60,000 masing-masing diberikan kepada pasukan regu dan double susulan kejayaan merangkul gelaran juara.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Orang kuat' The Rhinos persoal royalti jersi, fans khuatir penaja utama Sabah FC angkat kaki

BACA LAGI: [VIDEO] Rezeki Adib Raop ledak gol pertama depan mak ayah

Manakala, regu berpasukan yang bergelar naib juara pula menerima RM50,000 selepas tewas 1-2 di tangan musuh tradisi, Thailand dalam perlawanan akhir.

Namun, timbul isu apabila ada peminat mendakwa wang ganjaran itu tidak setimpal dengan pencapaian yang diraih selepas sukan takraw didominasi Thailand sejak puluhan lamanya.

Ini kerana ada yang membuat perbandingan skuad bola sepak negara yang menerima insentif RM5 juta walaupun meraih keputusan 3-3 berdepan Korea Selatan saingan Piala Asia 2023 dan gagal mara ke pusingan seterusnya.

Mengulas perkara itu, pemerhati sukan sepak takraw, Mohsen Amdan berpandangan bahawa jumlah wang ganjaran berkenaan sememangnya berbaloi untuk skuad takraw negara.

"Pandangan saya, insentif tersebut berbaloi untuk skuad sepak takraw negara yang baru sahaja memenangi Piala Dunia," katanya kepada Majoriti.

"Tak tepat perbandingan tu, sepak takraw bukan sukan teras. Negara yang menyertai bola sepak dan sepak takraw range dia berbeza.

"Badan pengendali sepak takraw dunia pula tak sebesar bola sepak. Hadiah kemenangan Piala Dunia Takraw pun tiada," ujarnya yang juga merupakan pengasas Bolarotan TV.

Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memainkan peranan penting dengan menyalurkan dana untuk menaja sebahagian daripada Piala Dunia tersebut.

"Jadi, inisiatif kerajaan beri ni adalah bertepatan, tambahan pula KBS menaja sebahagian dari kejohanan Piala Dunia ini," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram