NAMA pemain sayap kiri Harimau Malaya, Adib Raop terus menjadi perbualan ramai selepas mencetak gol ketiga buat Malaysia dalam kemenangan 3-1 ke atas Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Meskipun gagal untuk layak secara automatik ke saingan Piala Asia 2027, namun tonggak Penang FC itu wajar diberi pujian selepas ketenangannya mengatasi cabaran penjaga gol Taiwan.
Dibawa masuk pada pertengahan separuh masa kedua, Adib tidak mengambil masa yang lama untuk memberi impak cukup besar di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur ketika berdepan aksi kedua peringkat antarabangsa.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ayah orang Tawau', Joshua Laws calon terkini pemain warisan
Menariknya aksi tersebut, Adib meledak gol di hujung babak permainan selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Taiwan untuk menambah jaringan buat Harimau Malaya.
Bukan sahaja melakar rekod sendiri, jaringan yang dihasilkan Adib itu diiringi oleh doa dan sokongan daripada ibu bapanya yang sanggup turun ke SNBJ semata-mata melihat anak mereka beraksi.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh pengguna Twitter dengan nama akaun @thejoezakaria di laman X itu sempat menggores emosi penyokong tanah air.
"Berkat kehadiran mak ayah dapat score satu gol, sebak woo tadi," katanya.
Dalam pada itu, meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong berasakan gol terakhir yang diledak oleh Adib itu sebagai hadiah buat ibu bapanya yang sempat hadir di SNBJ pada Selasa.
"Dari kecil mak ayah yang bawak dia ke game sana sini, dulu mak dia menangis kalau tengok game Malaysia kalah, tapi malam ni mak dia menangis tengok anak dia main untuk Malaysia," kata @username732745.
"Kasih ibu ayah tiada tandingan. Rezeki Adib Raop dapat score first goal depan mak ayah,"kata @chemabulsayang.
"Alhamdullilah, semoga Pak Raop sekeluarga sentiasa dipermudahkan segala urusan dan dilimpahkan rezeki," kata @thejoezakaria. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram