[VIDEO] Rintihan isu gaji Farhan bersama pemain KDA, MUFC pernah memeranjatkan arena bola sepak domestik


  • Podium
  • Rabu, 12 Jun 2024

Farhan merupakan antara yang terawal membuat pendedahan mengenai isu kewangan menimpa Kelantan FC. — Facebook/TRW Kelantan FC

MASALAH kewangan dilaporkan sekali lagi dialami Sabah FC dengan perkara berkenaan pernah membuatkan kedudukan kelab Borneo itu dalam Liga Super goyah tahun lalu.

Meskipun masih tidak mendedahkannya secara terbuka, beberapa perkongsian daripada pemain dan staf kejurulatihan sedikit sebanyak mendedahkan perkara terbabit.

Baru-baru ini, penjaga gol utama kelab, Khairul Fahmi Che Mat mengambil tindakan demikian dengan mengatakan bekalan elektrik di kediamannya dipotong kerana sudah tidak dibayar untuk tempoh tidak didedahkan.

BACA LAGI: Tiga mata belum cukup, nasib Harimau Malaya kini di tangan aksi Oman-Kyrgyzstan

BACA LAGI: Meletup di Indonesia tak timbulkan rasa cemburu Terengganu terhadap Da Silva

Walaupun segelintir penyokong beranggapan perkongsian di Instagram itu hanya bersifat gurauan, ada pula berasakan pemain itu mahu menceritakan kisah sebenar dialami secara bertapis.

Ini kerana ia bukanlah kali pertama pemain dalam kelab bermasalah di Liga Malaysia berbuat demikian untuk menceritakan masalah kewangan dialami.

Pendedahan sedemikian sekali gus membuka mata penyokong serta pihak berkuasa mengenai isu kewangan sehingga kemelut itu memberi kesan terhadap prestasi di atas padang.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga pemain yang pernah membuat perkongsian di media sosial mengenai masalah di sebalik tabir sehingga mencetuskan kejutan di media sosial.

1. Naqib Sharipuddin

Selain Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan sebuah lagi kelab Liga Super yang terjerumus ke masalah kewangan sehingga membuatkan masa depan mereka kelam dalam divisyen teratas tanah air.

Meskipun hal itu tidak diumumkan secara terbuka, pendedahan dibuat pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23), Naqib Sharipuddin membuka mata penyokong mengenai hal tersebut.

Dalam hantaran di Instastory peribadinya, pertahanan berkenaan menceritakan situasi sebenar di sebalik perjalanan seorang pemain bola sepak yang sering dikatakan mewah dan kaya raya.

gaji21_1697870537

Naqib pernah membuat pendedahan mengenai nasib sebenar seorang pemain bola sepak.

"Kalau dapat pasukan yang betul-betul pandai jaga, bersyukurlah kita. Tetapi, jika dapat pasukan yang tidak berbuat demikian dan mengharapkan persembahan terbaik, macam mana?" katanya.

Hantaran itu kemudiannya ditangkap layar dan menjadi bukti mengenai masalah dialami skuad Sang Kenari dengan penyokong mendesak penjelasan diberikan pihak pengurusan.

Kemelut berkenaan akhirnya diselesaikan sebelum permulaan Liga Super 2024/25 dengan KDA FC dilaporkan sudah membayar tunggakan gaji dialami pemain mereka.

Tetapi, penyelesaian masa jangka panjang masih belum diperolehi pihak pengurusan kelab kerana terdapat laporan mengatakan Kedah tidak memiliki penaja utama sehingga hari ini.

2. Farhan Abu Bakar

Kemelut dialami Kelantan FC musim lalu tidak perlu diceritakan lagi kerana masalah berkenaan menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) lenyap daripada arena bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, masalah terbabit pada awalnya enggan dikongsikan pihak pengurusan kelab sehingga memaksa pemain mengambil langkah mendedahkannya menerusi akaun masing-masing.

Salah seorang pemain yang berbuat demikian ialah penjaga gol, Farhan Abu Bakar yang mendesak supaya pihak pengurusan, terutamanya pemilik pasukan, Norizam Tukiman menjelaskan tunggakan.

Dalam satu hantaran di Instastory, pemain yang kini berusia 31 tahun itu berkongsi audio apabila dia dimarahi usahawan berkenaan ketika diminta gaji.

Situasi itu menyebabkan ramai beranggapan Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sengaja menyembunyikan isu itu daripada pengetahuan awam.

Namun, kelewatan mengambil sebarang tindakan menyebabkan situasi tidak ubah seperti nasi menjadi bubur dengan kelab Pantai Timur tersebut disekat daripada bersaing secara profesional mahupun amatur.

3. Wan Zaharulnizam

Antara isu gaji awal dan kritikal dialami kelab Liga Super merupakan ketika Melaka United FC berdepan masalah terbabit pada 2022 ketika mereka masih digeruni.

Keengganan memikul tanggungjawab menyaksikan pemain menjadi mangsa sehingga laporan mengatakan kebajikan mereka terjejas sehingga ada yang terpaksa mengikat perut.

Antara yang berdepan nasib berkenaan ialah bekas penyerang sayap negara, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang pernah berkongsi nasib dialami skuad Hang Tuah.

307299449_2285425208306209_6279646809046338344_n

Hantaran Instastory Wan Zaharulnizam yang menceritakan isu sebenar MUFC.

Dalam satu hantaran di Instastory, dia berkongsi sekeping foto memaparkannya di samping dua lagi pemain Melaka United, Fakhrullah Rosli dan Syahrul Azwari menikmati sepinggan nasi bujang.

Pemakanan sedemikian sudah tentu tidak sesuai bagi seorang atlet yang memerlukan diet seimbang untuk membantu memberi persembahan terbaik setiap kali diturunkan.

Kini, pengurusan lama Melaka United tidak lagi berada dalam arena bola sepak tanah air selepas mereka hanya dikenali sebagai Melaka FC selepas menyertai liga kendalian Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

Meskipun ada percubaan untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Super, penyokong sendiri tidak mahu perkara itu berlaku kerana khuatir situasi sedemikian berulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram