'Ada 'perkara hebat' sedang terjadi di Selatan', Tun M jangka 40,000 penumpang guna RTS Link Johor-Singapura tidak lama lagi


  • Primer
  • Isnin, 10 Jun 2024

Pembinaan projek RTS Link menghubungkan antara Johor dan Singapura yang sedang dijalankan. — Souther Corridor Malaysia

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pembinaan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) menghubungkan Johor Bahru, Johor dan Singapura sebagai satu 'perkara hebat'.

Beliau berkata demikian sambil mengulas lanjut berhubung projek yang sedang giat dibina di kawasan Selatan itu.

Mahathir pada masa sama percaya bahawa projek tersebut tidak boleh dibina tanpa kelulusan Kerajaan Malaysia meskipun tidak banyak laporan dikeluarkan berkenaan perkara itu.

BACA LAGI: Nota 'SOS' selamatkan pembantu rumah dikurung di balkoni, tak dibayar gaji di Petaling Jaya

BACA LAGI: Subsidi diesel: Inflasi dijangka lebih 2 peratus, kenaikan harga tidak jejas belanja asas rakyat — Pakar

Projek tersebut mendapat perhatian Mahathir. — The Star

"Malaysia sentiasa meluluskan projek oleh Singapura sedangkan negara itu tidak meluluskan cadangan kita untuk menggantikan tambak dengan jambatan.

"Tidak lama lagi 40,000 penumpang akan menaiki RTS setiap hari dari Woodlands, Singapura ke Bukit Chagar, Johor. Sudah tentu kita harus meluluskannya," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurut beliau, buat masa ini, pelayaran dari Pasir Gudang ke Tanjung Pelepas, Johor adalah empat kali lebih lama daripada pelayaran terus di sepanjang Selat Tebrau.

"Jika jambatan itu dibina, tongkang dan bot boleh berlayar di antara pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas," jelasnya.

Screenshot (1944)

Pembinaan RTS Link yang sedang dijalankan. — Souther Corridor Malaysia

Terdahulu, kerajaan Malaysia meyakinkan bahawa projek mega, RTS Link Malaysia-Singapura tersebut bakal disiapkan mengikut perancangan yang dijadualkan dan beroperasi tepat pada 1 Januari 2027.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada Januari lalu mengumumkan, pelaksanaan projek itu berjalan lancar dengan jajaran jejambat marin antara Johor Bahru dan Singapura sudah berjaya dihubungkan.

Katanya, ia menunjukkan perkembangan baik dengan setakat itu sebanyak 68 peratus kerja pembinaan sudah selesai.

RTS Link itu juga akan menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan dijangka dapat mengurangkan lagi kesesakan teruk yang sentiasa dialami di Tambak Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram