Jika benar ia berlaku, saya harap ia cepat diselesaikan — Ex Sabah


  • Podium
  • Isnin, 10 Jun 2024

Para pemain Sabah FC dilaporkan mengalami tunggakan gaji. — Sabah FC

ISU tunggakan gaji dengan kelab-kelab di Liga Malaysia (Liga M) tidak pernah menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti.

Baru-baru ini, kem Sabah FC dilihat masih terperangkap dalam perkara itu selepas pendedahan yang ditunjukkan oleh penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Dalam laporan Majoriti sebelum ini, Fahmi memberikan isyarat yang isu gaji masih berlarutan hingga dia mengatakan "sudah tiga bulan rumah tiada bekalan elektrik".

BACA LAGI: 'Sudah lama tak dibayar', bintang Sabah FC bersedih rumah tiada bekalan elektrik

BACA LAGI: [VIDEO] Kita mewarisi hutang-hutang lama, kena bayar sikit-sikit — Pengurus Sabah FC

447903690_122122708472286286_1753054159733762411_n

Dirga (kiri) kini beraksi untuk Putrajaya Athletic. Putrajaya Athletic FC

Melihat kepada situasi ini, timbul pertanyaan, adakah masalah ini benar-benar membelenggu Sabah untuk sekian lamanya?

Menurut bekas pemain Sabah, Dirga Surdi, perkara ini berlaku sejak dia bersama-sama kelab Borneo itu. Namun begitu, keadaannya masih terkawal.

"Waktu saya bersama Sabah, kelab berada di bawah pimpinan dua ketua pegawai eksekutif (CEO) iaitu Khairul Firdaus Akbar Khan dan kemudiannya Marzuki Nasir. Waktu itu, kami tak ada masalah berkaitan gaji langsung.

"Jika ada masalah gaji sekali pun, ia cuma terlewat selama sebulan dan hanya berlaku dalam dua, tiga kali," kata Dirga kepada Majoriti.

Dirga yang bersama Sabah dari 2022 hingga 2024 mengakui yang dia bersimpati terhadap nasib bekas rakan sepasukannya.

Apa yang boleh diharapkan oleh pemain Putrajaya Athletic itu adalah supaya masalah tersebut dapat diselesaikan dengan segera.

"Jika perkara ini benar, saya juga turut bersimpati terhadap bekas rakan sepasukan saya dulu. Semoga perkara ini dapat diselesaikan dengan cepat," ujar Dirga.

Dalam masa yang sama, Dirga turut mengaku masih mengekalkan hubungan baik dengan rakan sepasukan iaitu Saddil Ramdani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram