Adib Raop ada motivasi tambahan bantu Penang FC singkirkan Tok Gajah


  • Podium
  • Rabu, 12 Jun 2024

Adib Raop kini merupakan tonggak utama skuad Harimau Kumbang dengan hantarannya cukup berkualiti. — Facebook/Penang FC

MESKIPUN hanya berada di atas padang kurang dari 30 minit, ia tidak menghalang pemain sayap negara, Adib Raop untuk menjaringkan gol pertamanya buat Harimau Malaya berdepan Taiwan.

Dia yang dimasukkan Kim Pan-gon dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pintar menghukum lawan dari Asia Timur tersebut untuk memastikan kedudukan 3-1.

Kemenangan berkenaan sekali gus mengangkat nama pemain Penang FC dengan penyokong skuad kebangsaan memuji kemasukan dan semangat dipamerkannya untuk baki permainan.

BACA LAGI: Dimiliki kerajaan negeri, TFC-Penang FC 'tidak bersalah' terima suntikan dana

BACA LAGI: Muncul jadi MOTM, penyokong Harimau Kumbang ‘request’ Penang FC tebus kontrak import pinjaman Selangor

444990364_1162438144829420_3029494375016110599_n

Nama Adib kini menjadi sebutan selepas memberikan persembahan berkualiti. — Facebook/FAM

Perasaan itu turut dikongsikan pemain tersebut sendiri yang berasakan persembahannya di hadapan ribuan penyokong berkualiti di samping diharapkan dapat diulangi buat skuad Harimau Kumbang.

Ini kerana dia percaya sumbangan sedemikian dapat diberikan untuk membantu kelab Utara tanah air tersebut dalam saingan Piala FA di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Jumaat nanti.

“Saya akan cuba faham dengan taktikal jurulatih (Akmal Rizal) untuk menentang Sri Pahang nanti dan sekarang tiada masalah pun daripada segi kecergasan.

“Saya juga dah banyak belajar daripada skuad kebangsaan yang boleh diterapkan untuk aksi Piala FA ini dan telah banyak membantu saya untuk menjadi pemain lebih matang.

“Apatah lagi dapat menjaringkan gol peribadi yang pertama buat skuad kebangsaan, saya semakin positif untuk terus berikan yang terbaik di atas padang,” jelasnya.

444481999_1007713037536017_5937544533381753133_n

Adib diharapkan dapat meneruskan prestasi cemerlang tersebut bersama skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Pemain berusia 25 tahun itu juga mengakui perlawanan menentang skuad Tok Gajah bukan mudah selain menganggap pemain import mereka antara yang boleh memberi ancaman besar kepada Penang FC.

“Bagi saya, Sri Pahang bukanlah kelab yang boleh kita pandang rendah sebab mereka mempunyai ramai pemain berkualiti.

“Import mereka juga memang bagus dan berpengalaman jadi kami di Penang FC memang kena buat sesuatu yang berbeza untuk cuba mendapatkan kemenangan Jumaat ini,” tambahnya.

Dalam saingan Liga Super, skuad Harimau Kumbang berada di kedudukan ketujuh dengan hanya keputusan seri direkodkan dalam kesemua perlawanan setakat ini.

Kemenangan sudah tentu diharapkan dapat diraih skuad kendalian Akmal Rizal untuk mengulangi kemaraan ke pusingan suku akhir yang direkodkan musim lalu. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram