NAMA pemain sayap kiri, Muhammad Adib Abdul Raop dijulang tinggi selepas meledak gol ketiga buat Harimau Malaya untuk kemenangan 3-1 dalam aksi penutup Kumpulan D berdepan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Adib Raop yang dimasukkan sebagai pemain gantian memanfaatkan peluang itu dengan meledak gol pada minit perlawanan selepas merampas bola daripada pertahanan lawan sebelum menewaskan penjaga gol Taiwan, Pan Wen Chieh.
Pemain berusia 24 tahun itu mendapat pujian apabila kelihatan tidak gugup dalam aksi keduanya mewakili Malaysia dengan Adib Raop juga menjadi watak penting untuk menghidupkan jentera serangan Harimau Malaya.
BACA LAGI: Jurulatih Taiwan cabar ‘ekor’ Harimau Malaya penuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil
BACA LAGI: Taiwan mungkin berdepan situasi sukar — Safee Sali
Dua penampilannya bersama skuad kebangsaan kali ini membuatkan ramai penyokong mengharapkan Adib Raop akan terus mendapat tempat dalam Harimau Malaya dengan dia juga dianggap sebagai pelapis terbaik di bahagian sayap.
Antara yang gembira dengan perkembangan pemain muda itu adalah penyokong Perak FC susulan Adib Raop merupakan tonggak pasukan Piala Presiden Perak, Perak II untuk Liga Perdana dan pernah beraksi di saingan Liga Super bersama skuad Seladang.
Bakat pemain muda itu juga sudah lama menarik perhatian 'pemain ke-12' The Bos Gaurus (TBG) sehingga pernah memberi cadangan kepada pengendali Mehmet Durakovic (2017-2020) untuk menurunkan pemain muda seperti Adib Raop.
Menelusuri kembali hantaran dari Perak Power, laman penyokong berkenaan melabelkan Adib Raop sebagai jelmaan Nazirul Naim lagi-lagi selepas dia pernah menyekat setiap gerakan Baddrol Bakhtiar dalam aksi bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2019.
Seorang lagi rakan Adib Raop yang juga pernah mendapat perhatian penyokong ialah Akmal Rizal iaitu pemain pertahanan tengah dengan dia dikatakan mirip seperti Shahrul Saad.
"Adib Raop yang memiliki larian deras dan sentiasa membuat larian rajin dari atas ke bawah dan ke atas bagi membantu pasukan Perak Presiden dari aspek serangan dan bertahan. Memiliki crossing yang baik Adib dilihat prospek bek kiri Perak yang bakal menyinar satu hari nanti.
"Mereka pernah bermain bertemu pasukan Liga Super Kedah dalam satu perlawanan persahabatan dengan Kedah berjaya menang dengan jaringan 2-1 walaupun menurunkan barisan utama termasuk pemain import.
"Dalam perlawanan itu jelas sekali mereka tidak kekok dan tidak berasa takut sehingga berjaya menyekat setiap gerakan daripada Baddrol Bakhtiar dan rakan rakan. Kepada Mehmet Durakovic jangan kedekut dan takut untuk menurunkan pemain muda," kata laman berkenaan pada hantaran yang dimuat naik pada 2019.
Adib Raop selepas meledak gol ketiga buat Harimau Malaya.
Selain cemerlang di posisi sayap, Adib Raop juga boleh beraksi sebagai pemain bek kiri kerana ia juga merupakan peranan yang cukup sinonim dengan pemain itu di Penang FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram