KEJAYAAN berada di tangga kedua dalam carta kutipan pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 sudah tentu membangkitkan semangat kontinjen Terengganu untuk temasya kali ini.
Ketika temasya sebelum ini, negeri Pantai Timur berkenaan mencatatkan 169 pingat secara keseluruhan dengan 64 daripadanya adalah pingat emas.
Jadi, usaha sudah tentu akan diteruskan dalam misi mengekalkan kedudukan cemerlang atau lebih baik, menduduki tempat pertama dalam Sukma yang bakal berlangsung di Sarawak bermula pertengahan Ogos nanti.
BACA LAGI: Skuad takraw negara terima habuan khas RM170,000 dari MSN
BACA LAGI: Isu bajet dan jurulatih, Christian Brooker dakwa pernah tegur MSN demi selamatkan kem terjun negara
Shahrizal yakin dengan persiapan dibuat MSN Terengganu bagi kontinjen Sukma. — Facebook/Shahrizal Yahaya
Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, pelbagai usaha sudah dibuat untuk berada di tangga terbaik dalam kutipan pingat.
"MSN Terengganu merangka beberapa usaha untuk merampas kembali kejuaraan Sukma, antaranya adalah menubuhkan Panel Pemantauan Prestasi Atlet (PRESMA) untuk memantau dan menganalisa prestasi atlet dari segi kecergasan dan peratusan pertandingan.
"Keputusan analisa tersebut mampu membantu jabatan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan atlet serta pasukan. Data diperolehi dapat menambah baik strategi persiapan seperti latihan yang strategik dan lebih berfokus terutamanya kepada sasaran atlet pingat emas," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, sasaran 75 pingat emas yang sebelum ini ditetapkan kerajaan negeri Terengganu boleh dicapai berdasarkan maklumat diperolehi sepanjang proses latihan.
Kontinjen Sukma Terengganu mencatatkan keputusan cukup baik pada edisi yang lalu.
Data terbabit kemudiannya dianalisis panel PRESMA dengan turut dibantu jurulatih serta pengurus sebelum digunakan bagi menaikkan prestasi atlet.
Sebelum ini, MSN Terengganu mengumumkan mereka bakal menyertai 36 daripada 37 jenis sukan dipertandingkan dalam Sukma Sarawak dengan ia sudah tentu dapat meningkatkan peluang mengumpul lebih banyak pingat.
Dalam pada itu, Shahrizal turut menegaskan atlet yang berjaya menempa nama dalam Sukma kali ini seperti mana pernah dilaksanakan pada edisi terdahulu.
"Sebagaimana tahun sebelum ini, kerajaan negeri ada melaksanakan pemberian insentif kepada semua pemenang pingat dan jumlahnya adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri.
"Bagaimanapun, jabatan ini dalam proses untuk mendapatkan arah tuju berkenaan pembayaran insentif ini daripada kerajaan negeri dalam masa terdekat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram