JOHOR Darul Ta'zim (JDT) yang membawa watak pasukan terkuat Liga Malaysia (Liga M) sememangnya tidak boleh disangkal kemasyhurannya apabila sudah mempertahankan kejuaraan Liga Super sebanyak 10 kali berturut-turut.
Sejak pemilik JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim membina empayar Harimau Selatan sekitar tahun 2013 yang lalu, pelbagai detik pahit dan disulam dengan kejayaan manis seperti merangkul Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 menjadi saksi kehebatan pasukan itu.
Tidak selesa dengan kejayaan-kejayaan itu, Harimau Selatan semakin menambah baik reputasi mereka sebagai kelab apabila mencatatkan 100 gol dan hanya bolos sebanyak tujuh gol bagi Liga Super musim 2023.
BACA LAGI: Ramon Marcote petik Selangor, Kedah, Sabah dan kelab Pantai Timur calon kuat saingan JDT
BACA LAGI: Selain Irfan Fandi, ada 2 lagi bintang Sang Garuda dalam radar kelab Liga Super
Kesukaran untuk menewaskan JDT itu membuatkan pemain yang sekurang-kurangnya berhasil merobek gawang Harimau Selatan akan dijulang tinggi dan seterusnya dilabel sebagai duri dalam daging buat juara bertahan Piala FA itu.
Dalam era gemilang Harimau Selatan itu, masih terdapat beberapa pemain dari pesaing Liga M pernah memberi mimpi ngeri kepada JDT dengan berhasil mencetak gol di gawang juara tiga kali Piala Malaysia berkenaan.
1) Patrick Cruz
Bermain di laman sendiri lazimnya memberi nilai tambah buat skuad Harimau Selatan namun rekod tanpa kalah JDT di 'rumah' sejak 2014 tercalar selepas Patrick Cruz mencipta hatrik untuk memastikan Pahang menang 3-0 pada suku akhir kedua Piala FA 2018.
Malam malang itu masih segar diingati para penyokong apabila JDT terpaksa akur gagal ke separuh akhir saingan Piala FA ketika itu selepas ketajaman penyerang Brazil itu seorang sudah cukup memalukan Harimau Selatan.
Kemenangan ketika berdepan skuad Harimau Selatan itu menjadi permulaan di sebalik kejayaan kelab Pantai Timur itu untuk menjulang trofi berkenaan dengan ia adalah kejuaraan terakhir mereka setakat ini.
Perkembangan terbaharu mengenai pemain yang meninggalkan Sri Pahang pada 2019 itu, Cruz kini baru sahaja menghabiskan satu musim berama pasukan Liga 1 Thailand, Phrae United FC dengan dia meledak 10 gol dan lima asissts dalam dalam 31 perlawanan.
2) Tchetche Kipre
Perjalanan Terengganu ke Piala Malaysia 2018 akan kekal menjadi momen termanis buat skuad Sang Peteh apabila berhasil mara ke final kejohanan berkenaan selepas menumpaskan kuasa besar, JDT.
Keputusan 2-2 di Larkin memastikan Terengganu menang agregate 3-2 untuk mereka mara ke final Piala Malaysia selepas perlawanan pertama skuad Sang Penyu menang tipis 1-0 di tempat sendiri.
Kejayaan itu terhasil selepas penyerang import berpengalaman, Tchetche Kipre meledak dua gol untuk bangkit menyamakan kedudukan 2-2 selepas ketinggalan 0-2 hasil jaringan penalti Fernando Marquez dan Gonzalo Cabrera.
Untuk rekod, Kipre yang juga ketika itu diberi kepercayaan sebagai ketua pasukan Terengganu merupakan pemain pertama menjaringkan gol di Larkin sejak Ashaari Shamsuddin pada 2014.
Selain separuh akhir pada saingan Piala FA itu, Kipre sekali lagi merobek gawang Harimau Selatan ketika final Piala FA 2022 namun keputusan tidak memihak kepada Terengganu apabila tewas 1-3 di tangan JDT.
3) Baddrol Bakhtiar
Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi satu-satunya pasukan yang mengalahkan Harimau Selatan dalam perlawanan Piala Sumbangsih melibatkan JDT selepas menumbangkan pasukan itu menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin.
Baddrol seolah-olah memberi 'nyawa' buat Kedah selepas menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa kedua dan menyaksikan keputusan seri 1-1 diheret ke penentuan sepakan penalti menjadi penentu antara dua kelab.
Nasib nyata menyebelahi pasukan Utara tanah air itu apabila penjaga gol, Hadi Hamid bertindak cemerlang menyelamatkan Brian Ferreira untuk memberikan kelebihan buat Sang Kenari.
Selain gol penyamaan Baddrol, karaker atas padang pemain berkenaan sebagai seorang ketua pasukan juga menjadi asbab Kedah mampu menewaskan JDT yang ketika itu sudah dijangka sekali lagi menjulang trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram