Isu bajet dan jurulatih, Christian Brooker dakwa pernah tegur MSN demi selamatkan kem terjun negara


  • Podium
  • Jumaat, 19 Apr 2024

Brooker mendakwa pengurusan MSN tidak menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan dana digunakan untuk perkara penting. — Agensi

MEMPUNYAI sejumlah dana yang besar amat penting bagi membantu menjayakan sesuatu sukan di tanah air ataupun kekal berada di landasan yang tepat untuk membantu mencapai objektif seperti meraih pingat di kejohanan besar.

Jika dana ataupun bajet yang diperuntukkan sedikit, sukar untuk sesebuah entiti mempelbagaikan kegunaannya dan seterusnya akan menjadi kekangan besar untuk mereka menjalankan pelbagai rancangan.

Isu kekurangan dana ini berlaku kepada kem terjun negara seperti mana dilaporkan Majoriti bahawa Persekutuan Renang Malaysia (MAS) banyak berharap kepada dana disalurkan Majlis Sukan Negara (MSN) semata-mata.

Lebih menyedihkan apabila dana MSN itu banyak digunakan untuk memberi keutamaan kepada atlet berpotensi menyumbang pingat dan mempunyai rekod pencapaian positif seperti Datuk Pandelela Rinong.

BACA LAGI: Christian Brooker dedah atlet terjun mengadu, enggan berlatih di China sebelum kejohanan dunia Doha

Kekurangan bajet

Isu kekurangan bajet itu bukan hanya dilontarkan oleh Pengarah Teknikal MAS, Bryan Nickson Lomas seperti laporan Majoriti sebelum ini, malah bekas jurulatih terjun negara, Christian Brooker turut senada mengenai perkara berkenaan.

Selain kekurangan dana yang diperuntukkan, jurulatih kelahiran Australia itu turut mendakwa pengurusan MSN tidak menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan dana digunakan untuk perkara penting.

brooker isi

Brooker meninggalkan Malaysia pada 2021 selepas menyertai skuad negara pada Disember 2017.

“Saya fikir MSN bukan organisasi yang baik untuk uruskan kem terjun negara, mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Cara Malaysia tidak menghasilkan pingat emas untuk mana-mana Olimpik. Mereka perlu melakukannya dengan cara terbaik dunia, bukan cara old school," demikian dakwanya.

Jelas beliau lagi, untuk mengikut cara berkelas dunia memang memerlukan bajet besar dan itulah yang dilakukan Australia sehingga mendapat hasil.

“Sukan juga menyatukan masyarakat dan di Australia penduduknya mahir bersukan kerana setiap kanak-kanak di sekolah bersukan. Sukan dijalankan untuk berseronok, supaya orang ramai boleh meluangkan masa dengan rakan-rakan mereka.

“Di Malaysia, sukan dijalankan sebagai perniagaan dan dijalankan sebagai program berprestasi tinggi dan tak sesuai untuk kanak-kanak. Kanak-kanak mahu bermain sukan untuk keseronokan,” demikian katanya kepada Majoriti ketika ditemu bual menerusi platform Google Meet, baru-baru ini.

Untuk rekod, sejak menyertai kejohanan Olimpik musim panas pada 1896, Australia sudah mengutip 566 pingat dengan 14 daripadanya disumbangkan kem terjun dan penyumbang terbesar adalah acara renang iaitu sebanyak 212 pingat.

BACA LAGI: Ketandusan pelapis terjun makin kronik, kontinjen negeri tolak kaedah 'pinjam' atlet punca acara Sukma digugur

Idea Brooker ditolak

Dengan populasi Malaysia yang hampir sama dengan Australia, Brooker pernah mencadangkan idea untuk menjadikan negara Oceania itu sebagai contoh menaikkan martabat kem terjun negara, namun dakwanya buah fikirannya ditolak atas dasar tidak cukup mengenali landskap sukan tanah air.

ausssi

Australia sudah mengutip 566 pingat sejak menyertai Sukan Olimpik pada 1896. — Agensi

Selain idea berkenaan, Brooker juga mendakwa bahawa sistem pemarkahan (score system) yang kini sudah digunakan oleh MAS sudah lama diusul olehnya namun tidak mendapat sokongan pihak MSN.

"MSN tidak bersedia untuk mendengar idea bagi menambah baik sukan (terjun). Semua idea yang saya kemukakan semasa melatih atlet terjun Malaysia ditolak oleh MSN. Bagi mereka, saya tidak tahu cara Malaysia.

"Sistem skor pernah saya cadangkan kerana ia akan memberi manfaat yang baik kepada pasukan terjun untuk menilai program junior. Jadi saya tumpang gembira, beberapa perkara yang Brian (Nickson) cadangkan, MSN melaksanakan," katanya.

Bukan itu sahaja, jurulatih yang kini bekerja sebagai penganalisis data itu juga kecewa apabila program yang diterima MSN iaitu untuk pembangunan atlet junior terpaksa tidak disambung selepas pandemik.

BACA LAGI: Sistem skor terpaksa disegerakan, langkah drastik atasi isu ketandusan pelapis terjun negara

Bekas jurulatih negara yang pernah berkhidmat selama empat tahun bersama skuad terjun elit bermula 2017 bagi menggantikan jurulatih China, Yang Zhuliang itu turut menegur karenah birokrasi menghalang MSN untuk melakukan kerja dengan efisien.

“Selain wang, terlalu banyak masalah dalam MSN. Seperti kolam di Selangor contohnya, MSN patutnya ada keupayaan untuk menggunakan kolam itu tapi tidak digunakan. Puncannya kerana ia dikendalikan oleh persatuan negeri.

“Oleh itu, MSN tidak mempunyai kawalan ke atasnya. Semua itu perkara birokrasi. Birokrasi banyak menghalang,” luahnya yang kecewa dengan situasi itu

zhuliang

Zhuliang (kanan) meninggalkan skuad penerjun negara selepas 12 tahun berkhidmat sejak tiba di negara ini pada 2001.

Teguran buat jurulatih

Dalam pada itu, Brooker yang masih mengikuti perkembangan kem terjun negara juga nyata kecewa dengan cara MSN dan sesetengah jurulatih menguruskan atlet jagaan mereka.

Menurutnya, prestasi merudum kem terjun negara khususnya wanita yang menyaksikan tiada seorang pun berjaya melangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas konsisten di temasya berkenaan sejak Sydney 2000 adalah kerana layanan mereka terhadap atlet.

Persembahan kurang memuaskan dari dua tonggak utama seperti Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri ketika Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada Februari lalu menyaksikan kali pertama dalam tempoh 24 tahun, Malaysia tidak mempunyai penerjun wanita beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Diving - World Aquatics Championships - Hamad Aquatic Centre, Doha, Qatar - February 6, 2024  Malaysia's Pandelela Pamg and Nur Dhabitah Sabri in action during the women's 10m Synchronised Finals REUTERS/Clodagh Kilcoyne

Gandingan Pandelela dan Dhabitha terlepas tawaran kelayakan empat pasukan terbaik 10m platform seirama apabila menamatkan saingan di tempat ke-12 daripada 16 pasangan. — Reuters

BACA LAGI: Pelan tindakan 8 tahun MAS sasar kembalikan maruah kem terjun negara

“Atlet sepatutnya rasa diri mereka istimewa jika mahu mereka melakukan yang terbaik. Jurulatih sepatutnya sentiasa menyokong atlet. Jika seorang atlet mempunyai masalah, bantu dan dengar luahan mereka.

“Apabila seorang atlet dipilih ke Sukan Olimpik, berikan mereka lebih daripada baju-t dan beg dan sepasang kasut. Anda harus melihat jumlah barangan yang kontinjen Amerika dapat apabila mereka pergi ke Sukan Olimpik.

“Australia dan Britain serta semua negara yang berjaya di Sukan Olimpik, mereka melayan atlet seperti diraja. Mereka mendapat begitu banyak barangan, supaya mereka bangga mewakili negara. Situasi berbeza di Malaysia apabila atlet negara ini terasa berat untuk mewakili negara.

“Jurulatih tidak begitu mahir dalam menguruskan atlet. Misalnya, hanya mengutamakan latihan semata-mat sepanjang masa. Jika berbuat demikian dengan seorang atlet yang berusia, ia tentu akan menyebabkan mereka cedera,” jelasnya.

Sebagai rekod, skuad terjun negara ketika ini dilatih oleh dua jurulatih China iaitu Li Rui dan Jia Ning serta jurulatih tempatan, Datuk Leong Mun Yee sambil dipantau pengarah teknikal, Bryan Nickson dan Khairul Safwan Mansur sebagai pengarah prestasi tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram