PUSINGAN kalah mati Piala FA dijangka akan menjadi aksi pertama Ivan Mamut bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas penyerang Terengganu itu diketepikan untuk tiga perlawanan awal sebelum ini.
Penyerang kelahiran Croatia itu sebelum ini tidak dilibatkan dalam mana-mana perlawanan susulan mengalami kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim yang menyaksikan Mamut perlu berehat panjang.
Selepas hampir enam minggu berada di Croatia bagi menjalani rawatan bersama pakar di negara Eropah itu, Mamut akhirnya sudah kelihatan di padang latihan Terengganu sebagai persiapan menentang Perak FC bagi aksi pertama Piala FA skuad Sang Penyu pada Jumaat (14 Jun).
BACA LAGI: [VIDEO] 'Muka dia macam tak ada apa-apa', pemain muda Terengganu raih pujian lepas aksi Kyrgyzstan
BACA LAGI: [VIDEO] 'Messi Terengganu' antara 3 pemain 'one season wonder', sama seperti bintang EPL
Kehadiran semula pemain berusia 27 tahun itu bersama Terengganu akhirnya boleh menceriakan penyokong dengan ketajaman penyudah Mamut pastinya ditunggu-tunggu oleh pemain ke-12 mereka menjelang aksi pertama Piala FA.
Bukan itu sahaja, kemunculan kembali penyerang tinggi lampai berkenaan di kem Terengganu juga membawa misi tersendiri untuk kembali mendapat kedudukannya sebagai penyerang utama kelab Pantai Timur berkenaan.
Sebelum ini, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner meletakkan Ismahil Akinade sebagai penyerang nombor satu namun cara berkenaan tampak kurang berkesan apabila penyerang dari Nigeria itu sekadar merekodkan satu gol sahaja dari tiga perlawanan.
Malah, jaringan pertama Akinade bersama Terengganu itu juga diperoleh daripada sepakan penalti sahaja ketika perlawanan skuad Sang Penyu menang 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC pada 24 Mei lalu.
Kemunculan kembali Mamut akan menyebabkan Akinade beraksi sebagai penyerang kedua TFC. — Facebook/TFC
Walaupun ada yang mengatakan kehadiran Mamut akan mengancam posisi Akinade namun jika dilihat aspek positif, ia akan menjadi motivasi agar penyerang itu lebih bersungguh-sungguh untuk memperbaiki mutu penyudahnya.
Akinade menyertai Terengganu pada jendela perpindahan lalu dan kehadiran tonggak berusia 30 tahun itu adalah untuk menjadi pemain sandaran kepada Mamut selepas bekas penyerang kedua iaitu Jordan Mintah mencari haluan baharu di Kuching City.
Untuk rekod, bersama The Red Warriors (TRW) dan Kelantan United musim lalu, Akinade telah beraksi sebanyak 25 kali dalam saingan Liga Malaysia sambil mencatatkan 10 gol serta enam bantuan jaringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram