Pernah dipuji TCH, bintang Thai bakal pulih reputasi Sang Kenari


  • Podium
  • Sabtu, 11 Jun 2022

PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) melalui laman rasmi Facebook pasukan, mengumumkan ketibaan pemain import baharu, Sanrawat Detchmitr yang berasal dari Thailand pada Jumaat.

Sanrawat cukup dikenali di kalangan pemain-pemain Malaysia kerana dia merupakan pemain utama semasa di bawah kendalian bekas ketua jurulatih Thailand, Milovan Rajevac di peringkat separuh akhir bertemu pasukan kebangsaan pada Piala AFF Suzuki 2018.

Kali terakhir Sanrawat mewakili skuad kebangsaan pada 2019 dan kejayaan terbesar pemain tengah itu apabila dia terpilih sebagai salah satu kesebelasan terbaik dalam saingan Piala AFF 2018.

Pemain berusia 32 tahun ini mempunyai kelebihan menerusi kreativiti di bahagian tengah serta mempunyai daya hantaran jauh yang agak baik ketika membantu serangan pasukan.

Gambar 2

Sanrawat rasmi diperkenalkan oleh pasukan Kedah dan akan menyarung jersi bernombor 39 pada Jumaat. Facebook

Sejak kehilangan Baddrol Bakhtiar ke pasukan Sabah FC, skuad Hijau Kuning tidak mempunyai pemain yang mampu mengawal bahagian tengah dengan baik mungkin dengan kehadiran Sanrawat, Sang Kenari akan kembali garang.

Menurut laman sesawang Transfermarkt.com, ini merupakan pasukan kedua buat Sanrawat di luar negara yang mana sebelum ini dia mewakili pasukan Tampines Rovers pada musim 2009/2010 dalam saingan Liga Singapura.

Pada musim ini di Liga Thailand, Sanrawat membuat 25 penampilan serta satu gol dan empat 'assist' bersama pasukan Bangkok United.

Bekas pengendali pasukan Kedah dan kebangsaan, Tan Cheng Hoe pernah berkata, Sanrawat merupakan pemain berbahaya buat pasukan lawan yang mana mampu memberikan ancaman terbesar kerana hantaran 'killer pass' yang ada padanya.

Cheng Hoe

Cheng Hoe pernah menyifatkan pemain kelahiran Thailand itu sangat berbahaya dari segi kualiti hantaran. Agensi

"Nombor sembilan mereka, Adisak Kraisorn dan 29, Sanrawat Dechmitr sudah pasti berbahaya, tetapi Thailand adalah pasukan yang seimbang.

"Kapten mereka, Chalermpong Kerdkaew kelihatan agak tenang, mahir membaca permainan dan mengawal pertahanan dengan baik. Sanrawat mempunyai kemahiran hantaran membunuh, mudah alih dan tidak mudah dikawal," katanya dalam satu temubual pada 2018.

Ketika itu, pasukan Malaysia berjaya menewaskan tuan rumah selaku juara bertahan di Stadium Rajamangala, Thailand pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 di bawah bimbingan Cheng Hoe. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram