Willian Lira, ex Sri Pahang dan KUFC buktikan tinggalkan Liga M keputusan tepat


  • Podium
  • Selasa, 11 Jun 2024

Lira meledak hatrik dalam kemenangan 3-1 ke atas Sukhothai FC bagi saingan Liga 1 Thailand.

SABAN tahun saingan Liga Malaysia (Liga M) akan disajikan dengan penghijrahan pemain dengan ada di antara mereka merupakan tunjang pasukan sehingga ramai penyokong sukar untuk menelan hakikat berkenaan.

Malah, ada juga penghijrahan pemain yang mendapat restu para penyokong kerana dianggap kurang menyumbang kepada pasukan atau kurang sesuai dengan taktikal dan suasana liga domestik boleh menjadi faktor.

Walau apapun situasi berkenaan, sesetengah para pemain yang sudah berhijrah ke liga luar nyata tampil lebih hebat dan tampak mudah untuk menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak negara lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Aksi tackle tak sengaja di Setia Alam jadi modal fans Indonesia komen lebih-lebih

BACA LAGI: Kelab Liga M patut contohi inisiatif Perak FC perangi jualan produk tiruan

Berdasarkan pemantauan Majoriti, beberapa bekas pemain import Liga M sedang menikmati fasa terindah dalam karier mereka apabila lebih cemerlang di negara lain dan membuktikan tinggalkan Liga M merupakan keputusan tepat.

Ingreso

Ingreso yang menyertai kelab Taguig FC tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri selepas menjadi watak penting buat kelab tersebut.

1. Kevin Ingreso (One Tiguig FC)

Pemain kebangsaan Filipina, Kevin Ingreso menjadi tonggak utama Sri Pahang FC dengan kebolehannya mengawal tempo permainan cukup dihargai.

Sepanjang dua musim beraksi buat skuad Tok Gajah, Ingreso mencatatkan 38 penampilan dalam kesemua kejohanan buat kelab Pantai Timur tersebut dengan dua gol dan tiga bantuan jaringan direkodkannya.

Bagaimanapun, dengan kontraknya tidak disambung oleh Tok Gajah musim lalu, Ingreso kemudiannya mengambil keputusan untuk kembali ke negara kelahirannya dan menyertai skuad kendalian Jovanie Villagracia.

Ingreso yang menyertai kelab Taguig FC tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri selepas menjadi watak penting buat kelab berkenaan.

Hal ini dapat disaksikan ketika Ingreso yang diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan berjaya membantu Taguig FC merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Manila Montet dalam aksi pembukaan Liga Perdana Filipina.

Lira

Lira sudah meledak 15 gol dalam 30 aksi Liga 1 Thailand setakat ini. — Instagram/WillianLira

2. Willian Lira (Chonburi FC)

Sebut sahaja nama Willian Lira, sudah pasti penyokong Hijau Kuning mengenali import kelahiran Brazil itu.

Selepas enam bulan meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk berhijrah ke Liga Thailand, karier Lira menjadi lebih positif selepas dia dilihat banyak memberi sumbangan kepada Chonburi FC dalam masa lapan bulan ini.

Ia dapat dilihat apabila baru-baru ini, penyerang berusia 30 tahun itu menjadi wira pasukan apabila meledak hatrik dalam tempoh 13 minit buat Chonburi FC.

Lira meledak tiga gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Sukhothai FC bagi saingan Liga 1 Thailand di Stadium Chonburi UTA, Chonburi, Thailand.

Prestasi itu diteruskan apabila Lira menjaringkan 15 gol dalam 30 penampilan untuk meletakkan Chonburi di tangga ke-14 Liga Thailand.

OJ

OJ sudah mencetak tiga gol dalam 10 penampilan aksi Liga 1 Indonesia setakat ini.

3. OJ Porteria (Dewa United FC)

Bekas pemain Kelantan United FC, OJ Porteria memilih jalan untuk berpisah daripada kelab tersebut apabila menerima tawaran lebih baik daripada pasukan lain.

Porteria yang dianggap sebagai wira Sang Kijang Hijau memilih untuk menamatkan kontraknya lebih awal supaya dapat melengkapkan perpindahannya ke pasukan baharu dengan lebih awal.

Menariknya, OJ nyata tidak terbang jauh apabila hanya berhijrah ke kelab negara jiran, Dewa United.

Menurut rekod, ini merupakan kali pertama OJ Porteria berhijrah ke kelab Indonesia setelah pemain tersebut pernah bermain di liga Filipina, Thailand, Kemboja dan juga Malaysia.

Beraksi bersama Dewa United, OJ mencipta tiga jaringan selepas 10 penampilan aksi Liga 1 Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram