Malang bertimpa-timpa, Selangor terpaksa lupakan khidmat Reziq untuk 6 minggu


  • Podium
  • Selasa, 11 Jun 2024

Reziq mengalami kecederaan dalam aksi persahabatan menentang Persija Jakarta di Indonesia pada 2 Jun lalu. — Facebook/Selangor FC

JENTERA serangan Selangor FC berada dalam prestasi terbaik ketika ini apabila mereka sudah menjaringkan lima gol dalam dua aksi Liga Super setakat ini.

Salah seorang bintang utama dalam bahagian terbabit sudah tentu pemain import Jordan, Reziq Bani Hani yang dibawa masuk pada hari terakhir jendela perpindahan.

Dia yang memikul peranan kapten untuk skuad Bawah 23 Tahun (B-23) bagi negaranya sering dibawa masuk pada penghujung permainan bagi memburu lebih banyak jaringan.

BACA LAGI: Berdua lebih baik, gandingan duo Pahang, Selangor kian dilupakan lepas capai Misi 33 dan 'double'

BACA LAGI: Luka Faisal Halim belum kering, sudah mula jalani fisio ringan — CEO Selangor

444497038_967218148743247_4995614539454100905_n

Reziq sudah menjaringkan satu gol dalam dua penampilan buat skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Namun, peluang terhad itu tidak menyekatnya untuk memberikan sebarang impak di atas padang apabila dia sudah menjaringkan satu gol buat skuad Gergasi Merah musim ini.

Prestasi berkenaan sudah tentu diharapkan dapat diteruskan memandangkan penyerang sayap utama kelab, Faisal Halim masih dalam proses pemulihan berikutan serangan asid dialaminya.

Bagaimanapun, perkhabaran buruk diterima penyokong Selangor FC apabila dilaporkan Reziq mengalami kecederaan jangka masa panjang seperti mana dilaporkan pemerhati bola sepak tempatan, Zulhelmi Zainal Azam.

"Penyerang Selangor, Reziq Bani Hani disisihkan sehingga enam minggu akibat kecederaan buku lali," katanya menerusi satu hantaran di akaun X peribadinya.

2730193

Reziq terpaksa menggunakan kerusi roda selepas perlawanan akhir itu.

Masalah berkenaan berlaku ketika pemain tersebut beraksi dalam kejohanan persahabatan di Indonesia menentang Persija Jakarta pada awal Jun lalu.

Dia kemudiannya terpaksa dibawa keluar sebelum kelihatan terpaksa menggunakan kerusi roda ketika sesi penyampaian pingat dengan skuad Gergasi Merah menjuarai RCTI Premium Sport.

Kehilangan Reziq pasti akan memaksa pengendali kelab, Nidzam Jamil mencari pendekatan berbeza dengan meletakkan Mukhairi Ajmal di posisi sayap sebagai antara perubahan boleh diambil.

Selain itu, kepercayaan boleh diberikan kepada bintang muda daripada skuad simpanan untuk memastikan jentera serangan mereka tidak terjejas sepanjang ketiadaan pemain Jordan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram